Hari ini genap 21 hari kita
menjalani ibadah puasa. Justeru, masih berbaki sembilan hari lagi untuk kita
sempurnakan ibadah puasa dengan memanfaatkan sebaik mungkin sisa-sisa hari yang
masih tinggal.
Ramadan awalnya adalah rahmat,
pertengahannya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka
sewajarnya disempurnakan dengan melunaskan ibadah wajib serta memperbanyakkan
lagi ibadah sunat bagi meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda. Pada fasa
sepuluh terakhir Ramadan, Allah SWT menyediakan malam yang lebih mulia
berbanding seribu bulan iaitu lailatulqadar. Pada malam inilah al-Quran
diturunkan untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman bagi seluruh umat Islam
mengemudi bahtera kehidupan di dunia.
"Carilah lailatulqadar pada
10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia
kalah (putus asa) mencarinya pada baki taujuh malam terakhir"
Sebahagian ulama berpendapat
al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki
keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya
malaikat, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT
ammenganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah.
Mereka yang benar-benar beriman
kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah melakukan ibadah sepanjang Ramadan,
pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam lebih mulia daripada
seribu bulan ini.
Baginda SAW bersabda: “Carilah
lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak
mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam
terakhir.” (Hadis riwayat Muslim)
Melewati sepuluh terakhir
Ramadan, Rasulullah SAW akan mencari lailatulqadar dan menyeru sahabat Baginda
supaya turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam berkenaan beribadah
(qiamullail).
Bahkan, Baginda juga akan
mengejutkan ahli keluarganya dengan harapan supaya dapat memperoleh
lailatulqadar yang penuh keistimewaan dan keberkatan.
Sesungguhnya ibadah qiamullail
adalah kegemaran Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Ummul Mukminin Saidatina
Aishah berkata: “Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda sakit atau
keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa
yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran,
diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan Saidina Umar
al-Khattab mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian
beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat,
solat” sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud:
“Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam
mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang
memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang
bertakwa.”
Sewajarnya teladan yang
ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dalam menghayati Ramadan serta
sepuluh malam terakhir dijadikan pedoman kepada seluruh umat Islam hari ini.
Pedoman ditunjukkan Baginda jelas
memberi gambaran betapa tinggi dan bernilai detik terakhir Ramadan yang sedang
kita lewati saat ini. Mudah-mudahan masih belum terlambat untuk kita terus
beristiqamah melaksanakan ibadah hingga ke penghujung Ramadan bagi memperoleh
lailatulqadar.
Penulis pegawai penyelidik Pusat
Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan