Oleh : PROF DATO' DR. SIDEK
BABA
HIJRAH Rasulullah SAW sentiasa
diingat sebagai titik anjakan dalam pemikiran dan strategi umat Islam sepanjang
zaman. Di samping perintah daripada Allah, ia membayangkan perancangan manusia
secara strategik cuba melepasi cabaran besar dalam memperkembangkan Islam
kepada perjuangan lebih besar dengan melakukan hijrah.
Dimensi ihsan dan insan
Perintah Allah kepada Rasulullah
SAW supaya hijrah berlaku adalah hubungan menegak antara Allah dan pesuruhNya
sementara perancangan Rasulullah SAW dan para sahabat adalah dimensi merentas
menghubungkan perancangan sesama manusia dengan mengambil pertimbangan Allah.
Dimensi ihsan (hablum minallah)
dan hubungan merentas (wahablum minannas) menarik untuk dijadikan ibrah atau
sumber ikutan dalam melakukan sesuatu maslahah atau strategi.
Ihsan memberi fokus hubungan
Allah dengan manusia dan insan berkait rapat hubungan manusia sesama manusia.
Talian rohaniah yang terhubung antara manusia dan Allah ialah membangun jiwa
muttaqeen. Rasulullah SAW dalam hadisnya menyatakan "setiap ibadah yang
baik dilakukan, meski kita tidak melihat Allah tetapi ahli abid tetap yakin
Allah melihat kita".
Kata Pendita Zaaba dalam
syairnya, " Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Dalam
laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan".
Kebaikan yang dilakukan dan
terhubung dengan Allah memperlihatkan keikhlasan yang tinggi dan barakahnya
adalah hebat sekali. Kepatuhan Rasulullah SAW kepada perintah Allah berhijrah
membawa makna yang besar dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah dan seterusnya
ke seluruh alam ini.
Risalah yang dibawa oleh
Rasulullah SAW adalah untuk insan. Insan memerlukan pedoman dan petunjuk supaya
terpandu melakukan ibadah dan peranan sebagai khalifah supaya natijah akhirnya
terbentuk watak insan soleh dan solehah berperanan untuk diri dan umat manusia.
Hijrah memperkasa fikrah
Suatu aspek yang sangat penting
dalam episod hijrah ini ialah tercetusnya pemikiran yang lebih segar dan
strategik bagaimana melepasi halangan penyebaran risalah Islam di Mekah supaya
dengan melakukan hijrah ia memberi kesan terbaik kepada Islam untuk berkembang.
Merancang supaya Rasulullah SAW
keluar pada waktu malam, Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW.
Berlindung sementara di Gua Thur. Abu Bakar as-Siddiq menjadi teman setia.
Terbina sarang labah-labah di permukaan. Yang bukan Islam memimpin jalan ke
Madinah. Terbenamnya kaki kuda di pasir apabila mengejar Rasulullah SAW adalah
gambaran eratnya hubungannya dengan peranan Allah dan perancangan insan.
Menjadikan hijrah Rasulullah SAW
sebagai pedoman keperluan untuk mengambil pertimbangan Allah dan perancangan
manusia adalah amat penting dalam meleraikan kebuntuan dan cabaran supaya jalan
keluarnya ditemui. Isu perpecahan di kalangan umat hari ini adalah contoh
terbaik bagaimana semangat hijrah al Rasul ini dijadikan pedoman. Golongan kafir
Mekah sentiasa mengatur strategi menyekat gerak kerja Rasulullah SAW dalam
berdakwah di Madinah. Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui cita-cita kafir Quraish
itu. Lalu Allah memerintahkan hijrah itu berlaku dengan perancangan bijaksana
Rasulullah SAW. Di Madinah Rasulullah SAW dan rombongannya diterima dengan
baik.
Strategi bijaksana dan sepadu ini
membolehkan Rasulullah SAW membina pangkalan baru bagi perkembangan Islam
sehingga akhirnya berlaku Futhul Makkah atau kembali semula ke Mekah untuk
mengembangkan risalah Ilahiah di sana.
Hijrah adalah jalur strategi
Umat Islam di sepanjang zaman
sering menghadapi masalah dan jatuh-bangun dalam binaan tamadun. Jalur strategi
atau masalah adalah sesuatu yang amat penting dilakukan untuk meleraikan
cabaran. Kehebatan tamadun Islam pada masa lalu terlihat kepada empat faktor.
Pertama berlakunya sinergi antara ulama' dan umara'. Al Makmun, al Mansor,
Harun al Rashid umpamanya menerima dukungan ulama dan menyebabkan zaman
pemerintahannya terserlah.
Kedua, sifat ilmunya berkembang
dan sepadu. Bermula dengan ilmu diniah yang dipelajari, berkembang ke arah
takhasus atau pengkhususan dalam pelbagai bidang kepakaran. Ibn Sina, Al
Biruni, Al Khuwarizmi, Abu Qasim Az Zahrawi menjadi huffaz di awal umur dan
menguasai ilmu astronomi, ilmu hisab, perubatan dan ilmu bedah hingga
menyebabkan tamadun lahir.
Ketiga, tradisi penyelidikan,
penulisan dan kecendekiawanan yang berkembang. Ilmuan Islam pada waktu itu
mampu menghasilkan ratusan karya-karya besar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ia
akhirnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin, Ibrani, Hebrew dan lain
menyebabkan Eropah mendapat manfaat pencerahan dari tamadun Islam dan akhirnya
Eropah melalui proses reformasi dan renaissance dan menyebabkan Eropah menjadi
kuasa penakluk dan tamadunnya digunakan oleh umat Islam sehingga kini.
Keempat, kesediaan Islam menerima
manfaat berbanding dari tradisi, budaya dan tamadun orang lain. Sejak awal
selepas Perang Badar lagi para sahabat mencadangkan kepada Rasulullah SAW
supaya tawanan perang mengajar kepada anak-anak Islam kemahiran membaca dan
menulis sebagai syarat pembebasan. Al Biruni menjelajah ke India dan belajar
bahasa Hind untuk menyelak sumber ilmu yang terdapat di sana. Rasulullah SAW
(setengah orang mengatakan ia adalah athar) menganjurkan supaya menuntut ilmu
walaupun ke negara China.
Hari ini anak-anak di kalangan
negara Islam dihantar belajar pelbagai bidang ilmu pengetahuan di Barat dan di
Timur. Ia adalah langkah terbaik dengan syarat ilmu itu dikembalikan dalam
kerangka tasawwur Islami. Islamisasi ilmu adalah suatu hijrah dalam jihad ilmu
supaya ilmu-ilmu dari Barat itu dapat memberi manfaat dan tidak bercanggah
dengan maqasid syariah.
Umat Islam secara strategi harus
memberikan fokus kepada jihad ilmu dan pendidikan. Ilmu yang harus dikembangkan
tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi harus disuburkan dalam bidang
ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi.
Kecenderungan suka berbalah di
kalangan ulama dan ilmuan hatta kepada hal-hal furuk atau ranting, kesukaan
kepada menyalahkan orang lain tanpa memikirkan apa sumbangan yang patut diberi,
sikap taksub dan tidak terbuka untuk mendengar pandangan orang lain, rasa
fanatik melulu yang tinggi terhadap tokoh dan jamaah menyebabkan hijrah tidak
boleh berlaku. Ia menyebabkan krisis terus terjadi, umat Islam hilang prioriti
atau keutamaan dan akhirnya warga umat hilang fokus dan menyebabkan penjajahan
pemikiran dari pihak lain terus terjadi.
Sifatnya adalah bijaksana
Hijrah al Rasul mengambil
perspektif bijaksana dalam mengurus krisis dan cabaran. Berundurnya Rasulullah
SAW bukan bermakna tewas dalam perjuangan. Berundur lima tapak ke belakang dan
melonjak 10 tapak ke hadapan adalah suatu maslahah. Apabila maslahah itu
mengambil pertimbangan Allah dan strategi manusia dalam melakukannya ia adalah
sesuatu yang bijaksana.
Episod penghijrahan Rasulullah
SAW ini perlu dikaji oleh para strategis hari ini. Pertimbangan hijrah menuntut
prioriti atau keutamaan, fokus terhadap isu dan agenda, persiapan fikir dan
zikir, persiapan ilmu dan keterampilan, binaan peribadi wibawa diri adalah
antara prasyarat yang penting supaya idealisme dapat diimbangi dengan pemahaman
terhadap realiti, keupayaan membaca senario supaya ahli strategi mempunyai
upaya futuristik yang tinggi.
Musuh-musuh Islam terus merancang
dan umat Islam juga perlu merancang dengan keyakinan bahawa Allah bakal
memenangkan perancangan mereka yang memiliki ketabahan dan kesabaran menghadapi
ujian. Keupayaan menyerap kesabaran adalah kunci terhadap perjuangan. Kegopohan
dan suka menyalahkan orang lain adalah musuh kepada kejayaan.
Falsafah Sahifah Madinah dan
Futhul Makkah
Di Madinah dengan latar
masyarakat yang berbilang, Rasulullah SAW amat futuristik menyantuni kelompok
Nasrani, Yahudi dan lain-lain dengan suatu ikatan Sahifah Madinah. Rasulullah
SAW melakukan usaha tersebut dengan terlebih awal mengukuhkan ikatan ukhuwah
antara Muhajirin dan Ansar. Asas kekuatan jamaah ini membolehkan pihak lain
menghormati orang-orang Islam.
Falsafah dari Sahifah Madinah ini
memberi umat terkemudian mengenai betapa pentingnya kekuatan umat terbina
sebelum usaha tahalluf (kerjasama) terhadap pihak lain terjadi. Kalau usaha
tahalluf ini dalam keadaan Muhajirin dan Ansar berpecah-belah tidak mungkin
orang lain memiliki rasa hormat terhadap kepimpinan Rasulullah SAW.
Meski akhirnya orang Yahudi
ingkar dari Shafiah ini, Rasulullah SAW tidak mengambil sikap pasif malah
memerangi mereka. Hal ini amat penting direnungkan lantaran menolak tahaluf
menegakkan negara Islam di Madinah tidak didekati dengan kompromi.
Hal yang sama apabila berlaku Futhul
Makkah iaitu hasrat Rasulullah SAW untuk kembali ke Mekah terhalang dengan
kisah Hudaibiyyah. Sekali lagi faktor maslahah terjadi walaupun pembatalan
usaha itu amat tidak disenangi Saidina Omar.
Hikmah di sebalik penangguhan itu
ialah penerimaan kelompok Mekah terhadap Rasulullah SAW sebagai suatu entiti
yang dihormati. Ia ternyata benar apabila Rasulullah SAW melakukan Futuhul
Makkah pada tahun berikutnya ia berlaku tanpa halangan. Tidak seperti dakwah
awal Rasulullah SAW di Mekah sentiasa tercabar dengan ujian yang menyakitkan.
Dengan kehadiran Rasulullah SAW di Mekah ia membuka lembaran baru terhadap
perjuangan Islam hingga asas yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat
memberi kesan yang amat hebat terhadap kelanjutan perjuangan Islam itu sendiri.
Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Antarabangsa
Islam Malaysia (UIAM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan