Oleh : AKADEMI TARBIYAH DPPM
Ketika Nabi Muhamad S.A.W diutus
kepada umat manusia, Baginda mengisytiharkan bahawa perutusannya adalah untuk
melengkapkan akhlak yang mulia. Baginda juga menghapuskan perilaku-perilaku
hina dan meluruskan apa yang perlu diluruskan. Di antara sifat yang mendapat
perhatian Baginda dalam membetulkan masyarakat Jahiliyah di tanah Arab ketika
itu ialah sifat "cemburu" yang melampau. Sifat cemburu yang dimiliki
oleh lelaki Arab Jahiliyyah terhadap kaum wanita berlaku sehingga mereka
sanggup menguburkan anak puterinya hidup-hidup kerana khuatir nanti ia akan
berbuat sesuatu perkara yang memalukan.
Keretakan rumah tangga juga
banyak berlaku disebabkan perasaan cemburu keterlaluan, kerana cemburu masalah
kecil diperbesarkan sedangkan masalah itu boleh diselesaikan dengan berbincang
antara satu sama lain. Kecemburuan yang melampau seperti ini diharamkan oleh
Allah Taala, tetapi dalam masa yang sama Allah turut melestarikan sifat cemburu
dengan menjadikannya sebagai sebahagian dari cabang iman.
Tidak dapat dinafikan perasaan
cinta menyebabkan wujudnya perasaan cemburu sebagai ujian dari Allah Taala
kepada manusia. Sifat cemburu dianugerahkan daripada Allah sebagaimana orang
yang memiliki harta melimpah ruah, dia pasti akan diberi oleh Allah perasaan
takut jika hartanya dikebas orang. Itulah cara Allah mendidik hambaNya agar
mengakui bahawa setiap kenikmatan di dunia ini tidak kekal seperti mana
kenikmatan di akhirat. Oleh kerana itu, suami mahupun isteri mestilah bersikap
adil dalam mengaplikasikan sifat cemburu yang terarah menurut panduan Al Quran
dan As Sunnah. Kerana, boleh jadi sikap cemburu yang keterlaluan mengakibatkan
putus hubungan, putus persahabatan, putus pertunangan dan tidak kurang juga
berlaku perceraian. Malah ada juga kisah cemburu yang menjadi motif kepada
kes-kes jenayah seperti pembunuhan, khianat, simbah asid dan sebagainya.
Nabi Daud A.S pernah berpesan
kepada anaknya Sulaiman A.S, "Wahai anakku, jangan terlalu banyak cemburu
kepada isterimu, jangan kamu lihat yang buruk-buruk sahaja. Ini kerana, sifat
yang keterlaluan itu akan menyebabkan isterimu menjadi mangsa tuduhan yang
melampau padahal dia bersih dari tuduhan tersebut" - Sunan Al Baihaqi
1/499
Sifat cemburu yang berlebihan
menyebabkan pasangan suami isteri saling bersangka buruk sesama sendiri dan
hubungan kian menjadi retak. Cemburu yang timbul berasaskan perasaan ragu dan
sangsi seperti ini dikatakan "cemburu buta". Cemburu seperti inilah
yang akan membuka pintu kemungkinan berlakunya kesalahan dan kemurkaan Allah
Taala. Iaitu apabila sesuatu yang dicemburukan diyakini benar berlaku walaupun
tanpa selidik dan usul periksa. Cemburu seperti ini boleh meracuni perhubungan
dan pergaulan ketika mengharungi bahtera kehidupan.
Namun, tanpa cemburu juga
merbahaya. Melalui cemburu, seseorang menunjukkan sikap ingin mempertahankan
sesuatu seutuhnya, dijaga sepenuh pengawasannya. Tanpa cemburu juga maka tiada
siapa yang akan ambil peduli dan terpanggil untuk rasa bertanggungjawab
membaiki keadaan. Sebarang kebiasaan tabiat buruk dan keterlanjuran akan mudah
membarah menjadi gejala tidak sihat apabila tiada sesiapa yang peka dan
sensitif dengan kecemburuannya. Kita khuatir tanpa sifat cemburu atau kononnya
mahu digelar "sporting", ia nantinya melahirkan masyarakat yang sesat
barat, sehingga seseorang itu tega membiarkan lelaki lain berjalan-jalan
bersama isterinya, membiarkan pergaulan adik perempuannya tanpa kawalan. Oleh
kerana itu, sifat cemburu menjadi satu elemen yang diperlukan bagi memastikan
keutuhan rumah tangga, asalkan neraca yang menjadi asas kecemburuan itu selari
dengan kehendak Allah Taala.
Jika perasaan cemburu hilang
kepada pasangan hidup dengan alasan saling mempercayai satu sama lain, satu
hari nanti ia pasti akan mengundang fitnah dan kerosakan rumah tangga. Seorang
lelaki berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah sesungguhnya isteriku pergi
haji, sedangkan aku telah diwajibkan ikut di dalam peperangan ini". Maka
Baginda bersabda, "Pergilah berangkat haji bersama isterimu" - Sahih
Bukhari (3006)
Seorang suami bukan sahaja harus
mencemburui isterinya, malah isteri juga harus mencemburui suaminya. Demikian
juga ibu bapa harus cemburu kepada anak-anaknya. Kecemburuan ini bersumberkan
ikatan kasih sayang. Persoalannya, kasih sayang yang bagaimana? Sebagai contoh,
tidak cukup sayangkan isteri kerana kecantikan rupa parasnya. Jika demikian,
apabila kecantikan itu hilang dimamah usia maka akan pudar jugalah rasa cemburu
suami terhadap isterinya. Sayang tidak akan kekal dan cemburu tidak akan
berterusan jika diikat dengan sesuatu yang tidak abadi dan hakiki. Oleh kerana
itu, sayang dan cemburu seorang suami atau bapa kepada isteri dan anaknya
haruslah sampai ke pintu syurga.
Firman Allah Taala dalam Surah At
Tahrim : 6, yang bermaksud :
"Wahai orang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya
manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh Para Malaikat
yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam
segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan
segala yang diperintahkan" - At Tahrim : 6, Al Quranul Karim
Dalam melaksanakan perintah
pemeliharaan ini maka ketua keluarga perlu memiliki sifat cemburu, dan cemburu
itu juga mestilah kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta kepada Allah,
kerana Dia-lah sumber kasih sayang yang paling utama. Jangan tergadai ikatan
kasih sayang kepada Allah dek terlalu sayangkan anak, isteri, harta benda dan
lain-lain. Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan
selainnya maka perhatikanlah firman Allah dalam Surah At Taubah: 24, yang
bermaksud :
"Katakanlah (wahai
Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu,
dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad
untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab
seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik (derhaka)" - At Taubah : 24, Al Quranul Karim
Sifat cemburu mestilah dipandu
dengan asas iman dan akal, bukan emosi semata-mata. Sikap cemburu jika berasas,
itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit
hati.
Cemburu Sifat Orang Beriman,
Tanda Sayang & Bukti Harga Diri
Cemburu itu tanda sayang, ia
menjadi bumbu dalam hubungan kasih sayang. Tetapi, sayangilah apa jua asalkan
ia dihubungkan kepada Allah Taala Yang Mempunyai Segala-galanya. Justeru,
cemburulah apabila suami atau isteri mahupun anak yang menunjukkan tanda-tanda
lalai dan melencong daripada landasan hidup sebagai orang yang dicintai Allah.
Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya sifat cemburu itu ada yang
disukai Allah dan ada yang dibenci-Nya. Adapun sifat cemburu yang disukai Allah
adalah kecemburuan pada hal-hal yang pasti, sedangkan yang dibenci olehNya
adalah kecemburuan pada hal-hal yang tidak pasti (memiliki keraguan dan syak
wasangka)" - Sunan An Nasa'ie (2558), Sunan Abi Daud (2659)
Sa'ad bin Ubadah R.A pernah menggambarkan
perasaan marahnya di hadapan Para Sahabat jika dia mengetahui isterinya bergaul
dengan lelaki lain. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, "Apakah kalian merasa
hairan dengan kecemburuan Sa'ad? Sesungguhnya aku lebih cemburu jika
dibandingkan dengannya, dan Allah lebih cemburu jika dibandingkan denganku.
Kerana itu Allah melarang perbuatan keji, baik ia dilakukan secara terang
mahupun secara sembunyi. Dan tiada sesiapapun yang suka memberi maaf lebih
daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan
berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorangpun
yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang
memuji-Nya) dijanjikan-Nya syurga" - [ rujuk Sahih Bukhari (6846), Sahih
Muslim (6846) ].
Ketika salah seorang isteri
Rasulullah S.A.W bernama Mariah Al Qibtiyyah mengandung, seorang kerabat
lelakinya dari Mesir kerap datang menziarahi Mariah. Pada suatu hari,
Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabat lelaki tersebut bersamanya. Rasulullah
merasa cemburu sehingga terlihat warna kemarahan diwajahnya. Umar Al Khattab
merasai perubahan sikap Rasulullah S.A.W itu, lantas Umar bertanya tentang
keadaan Baginda S.A.W. Lalu Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap
kerabat Mariah yang kerap datang ke rumahnya.
Apabila mendengar keresahan
Rasulullah S.A.W, Umar lantas menghunus pedang mencari lelaki itu, lantas
lelaki dicarinya segera menuturkan bahawa dirinya telah dikembiri oleh raja.
Umar tidak jadi mengancamnya dan terus menemui Rasulullah menceritakan hal
sebenar. Rasulullah berkata kepada Umar, "Jibril telah datang kepadaku dan
membebaskan Mariah dan saudaranya dari tuduhan yang terlintas pada diriku.
Allah juga memberikanku khabar gembira bahawa aku bakal menimang cahaya mata
lelaki, dan Allah memerintahkan kepadaku agar anak itu diberikan nama
Ibrahim". [ rujuk Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Muttaqin, Ibnu Qayyim
Jauziyyah, hal.296 ]
Sifat cemburu tidak terkecuali
turut dimiliki oleh Umar Al Khattab, Sahabat RasuliLlah S.A.W yang terkenal
dengan sifat tegas dan garang. Abdullah bin Umar R.A menceritakan bahawa beliau
pernah bertanya kepada Atikah binti Zaid, salah seorang isteri Umar Al Khattab,
"Mengapa bonda tetap keluar solat Subuh dan Isya' ke masjid? Sedangkan
bonda tahu bahawa ayah (Umar) tidak suka dan cemburu dengan perbuatan
bonda?"
Lalu Atikah berkata, "Jika
demikian, mengapa Umar tidak pernah menghambat dan melarangku?".
Abdullah bin Umar menjawab,
"Ayah tidak melakukan demikian kerana Rasulullah S.A.W mengarahkan supaya
jangan menghalang kaum wanita ke masjid". Dalam riwayat lain, Atikah
berkata kepada Umar Al Khattab, "Demi Allah, dinda tidak akan berhenti
pergi ke masjid sehinggalah kanda melarangku berbuat demikian" [ rujuk
Fathul Bari syarah Sahih Bukhari, 3/34 ].
Diriwayatkan juga, Atikah mula
berhenti pergi ke masjid setelah diganggu seorang lelaki di dalam
perjalanannya.
Benar, suami tidak boleh terlalu
menyekat isteri daripada bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan
dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun, suami wajib menegah
isteri daripada terlibat dalam hubungan yang dilarang agama seperti hubungan
dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, ataupun bergaul tidak
tentu hala. Suami turut mempunyai hak menegah isteri daripada terlibat dalam
pergaulan sedemikian untuk menutup ruang daripada terjerumus kepada
kemungkaran. Sabda Rasulullah S.A.W, "Allah itu pencemburu dan seorang
Mukmin juga pencemburu, Kecemburuan Allah itu apabila ada seorang hamba datang
kepada-Nya dengan perbuatan yang diharamkan-Nya" - Sahih Bukhari (4925),
Sahih Muslim (2761). Wallahua'alam
Sumber : http://tarbawi.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan