Khamis, 7 Februari 2013

Implikasi tauhid terhadap ibadah


Oleh : PROF DR  SIDEK BABA

Seseorang yang bernama Islam, aqidah tauhid merupakan perkara utama dalam kehidupannya. Ibarat sebatang pokok, kekuatan pokok itu bergantung kepada akarnya. Akar itu ibarat aqidah tauhid yang menyebabkan pokok itu hidup subur.

Kesuburan aqidah tauhid terkait rapat dengan isu ibadah kita. Yang kita sembah, amalkan dalam hidup, yang kita syukuri, yakini adalah ALLAH. ALLAH sebagai Pencipta satu-satunya bukan dua bukan tiga.

Aqidah tauhid merintis jalur kesatuan dalam ibadah. Apa saja ibadah yang dilakukan ia terhubung dengan ALLAH Yang Satu. Ibadah itu kita lakukan dalam satu kesatuan. Baik solat, siyam, fikir dan zikir dalam erti kata yang luas semuanya terhubung dengan ALLAH. Ia menjadikan manusia taqarrub ilallah atau dekat dengan ALLAH. Ia tidak boleh terpisah dan bergerak sendiri-sendiri.

Apabila ibadah itu terhubung dengan pekerjaan, kerja itu kita lakukan kerana ALLAH iaitu ikhlas. Apabila sesuatu kerja dan amanah kita lakukan dengan ikhlas, hikmahnya akan kembali kepada kita juga.

Umpamanya kita berjual beli sebagai sumber ibadah dengan jujur dan ikhlas, keuntungan yang diterima adalah sumber barakah. Bila ini terjadi sumber rezeki itu dimanfaatkan kepada keluarga dan keluarga mendapat manfaat dari rezeki yang halal dan tayyib.

Aqidah tauhid ini juga terhubung dengan syariah. Syariah ialah jalur pedoman supaya insan Islam berada dalam lingkungan hidup yang terizin dan sentiasa dalam reda ALLAH.

Faktor syariah ini sangat penting dalam menentukan pola perlakuan, tabiat, watak dan corak kehidupan manusia. Apabila manusia hidup dalam syariat ALLAH, dirinya sentiasa berada dalam keadaan maaruf dan sentiasa ingin menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan manusia.

Lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu bermaksud memelihara kepentingan Deen atau agama sekali gus menjaga kemaslahatan agama dan kaitan dengan penganutnya supaya imej Islam perlu teguh dan utuh.

Oleh itu pancaran aqidah tauhid yang terlihat dalam keyakinan dan cara hidup menjadi asas penting pemeliharaan terhadap agama kerana pada diri orang-orang Islam terdapat sumber teladan untuk dijadikan ikutan.

Menjaga agama dalam maqasid syariah adalah terlalu penting dijadikan keutamaan kerana Islam itu agama dakwah. Ia mengajak, memanggil dan menyeru orang lain tentang tatacara dan tatahidup murni yang boleh dijadikan sumber teladan dan jalan ikutan.

Rasulullah SAW memiliki kualiti manusiawi yang tinggi. Daripadanya terdapat qudwah hasanah dan contoh terbaik bagaimana sunnahnya dijadikan pedoman dan ikutan. Apabila manusia memiliki sumber contoh dan ikutan ia tidak akan kehilangan arah hidup dan sentiasa dekat dengan ALLAH.

Aqidah tauhid juga amat rapat hubungannya dengan akhlak. Akhlak Rasulullah SAW dihubungkan sebagai khuluq al-Quran (akhlak al-Quran) di mana ia seolah-olah al-Quran yang hidup dalam diri, pernyataan dan amalan. ALLAH mengutus Rasulullah SAW atas maksud untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Apabila aqidah tauhid manusia mantap, menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai sumber ikutan, manusia memiliki sifat taat. Taat membawa asas kepatuhan dan ketundukan dan ia mendukung sifat kehambaan yang tinggi. Ia menjadi asas terbinanya sifat ibadullah dan ibadurrahman.

Sifat ini sangat penting kepada manusia kerana darinya memiliki kualiti ihsan yang tinggi. Ihsan atau 'God-Conciousness' meletakkan perbezaan antara Islam dan bukan Islam.

Sifat ihsan seperti disebut Rasulullah SAW menghubungkan amal manusia dengan Pencipta.

“Meski apabila kita melakukan amal baik, kita tidak melihat ALLAH, tetapi ada keyakinan di hati ALLAH melihat kita”. Inilah asas kekuatan bagi seorang muhsin yang sentiasa mendamba diri kepada ALLAH SWT dengan rasa kekudusan dan keikhlasan untuk mendapatkan reda-Nya.

Oleh itu kehebatan aqidah tauhid tidak saja dirasakan kepada keyakinan diri tetapi mampu diterjemahkan dalam amal.

Sebagai seorang Islam tidak saja produktiviti rohaniah kita tinggi dengan tahajjud, qiyam dan seumpamanya tetapi juga produktiviti amaliah dapat dimanifestasikan dalam proses keilmuan, dakwah dan tarbiyyah sehingga cemerlang dalam pengurusan diri dan juga sistem.

Hakikatnya apa yang kita lakukan ikhlas kerana ALLAH hikmahnya kembali kepada manusia semula. Kebaikannya adalah berpulang kepada manusia dan mensejahterakan orang lain.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan