TERDAPAT tiga makhluk Allah yang
terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan
bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS.
Rasulullah SAW mewakili manusia
yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula
mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak
sempurna sebagaimana manusia.
Jibrail AS pula adalah mewakili
makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.
Secara ringkasnya perlakuan
makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka
iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.
Akal yang diberikan oleh Allah
jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan
kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata
tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan
berdasarkan kepada syariat Allah.
Hal ini adalah kerana kebaikan
dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata
tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan
pentadbir.
Oleh yang demikian, Allah telah
mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
Pertemuan
Dalam peristiwa Mikraj,
ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq
bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di
suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.
Apabila tiba di Sidratul Muntaha,
di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah
bertanya kepadanya: "Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku?
Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati
tempat ini."
Rasulullah sendiri bertemu dengan
Allah di mana diriwayatkan bahawa jarak di antara Baginda dengan Allah hanyalah
jarak anak panah atau dekat lagi. Firman Allah dalam surah al-Najm ayat kelapan
dan sembilan iaitu: Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad SAW),
lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit sehingga jarak sekadar dua hujung busar
panah atau lebih dekat lagi.
Maka terbuka segala tabir,
terbukalah hijab, sehingga baginda melihat wajah Allah. Maka di situlah juga Rasulullah
mendapat perintah mengejakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam.
Persimpangan
Rasulullah SAW seorang manusia
yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu
Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu
menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisinya.
Sebaliknya manusia yang
diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu
syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata
makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah.
Firman Allah dalam surah al-Tin
ayat keempat dan keenam bermaksud: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia
dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang
serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka
mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Fitrah
Secara fitrahnya kita dapat
merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan
mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu).
Kita merasa amat tidak selesa
apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke
bawah dari pinggang kita. Mengapa? Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah
meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).
Dalam kedudukan yang sama
(berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa
selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru
kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap
meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.
Binatang adalah makhluk yang ada
akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan
di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat.
Manusia yang mahu bersujud di
hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud,
manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja
meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.
Ia dilakukan semata-mata sebagai
tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa
di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi
memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda
bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan.
Oleh demikian, Allah
memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua
sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada
kalangan orang-orang yang kafir.
Firman Allah di dalam Surah
al-Baqarah ayat 34: Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat:
Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan)
kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan
takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan