Jika ikut syarak, wanita
bermadu tidak teraniaya
Satu, banyak-banyak. Dua,
sikit-sikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apakah ia? Mungkin
ramai sudah ramai tahu jawapannya - KAHWIN.
Berkahwin lebih dari satu atau
poligami, antara topik menarik yang sering dibincangkan. Ada pandangan pro dan
ada yang kontra. Malah, ada tergelak besar dan ada yang boleh menangis apabila
memperkatakan poligami.
Tetapi menariknya, sejak
kebelakangan ini ada ‘bisikan nakal’ yang menyatakan, kahwin lebih dari satu
atau berpoligami bukan saja menjadi pilihan lelaki ‘biasa’ tetapi juga golongan
Adam yang mempunyai latar belakang pendidikan agama tinggi dan lebih arif
mengenai hukum hakam.
Namun, ramai ‘merestui’ dengan
kata-kata atau jawapan yang masuk akal. “Tak apa mereka tu tentu lebih faham
dan boleh berlaku adil.” Tepuk dada tanya selera!
Kehendak nafsu
Hakikatnya, sebut saja poligami
hati dan minda suami begitu segar dan berbunga manakala isteri pula ‘mencuka’
dan naik angin, fikir lelaki memang tidak pernah puas dengan seorang wanita.
Entah apa lagi yang dimahukan lagi sang lelaki ini.
Bagi yang dangkal fikiran,
pastinya poligami dikaitkan dengan keinginan untuk memenuhi kehendak nafsu seks
lelaki yang begitu tinggi. Poligami menjadi suatu perkara yang subjektif. Cuma
jika lelaki memahami tujuan berpoligami dan mengikuti syarak pasti dunia ini
aman damai manakala isteri yang terpaksa dan sanggup bermadu juga tidak
berhadapan dengan sebarang masalah seperti wujud ketidakadilan, terabai dan
penganiayaan.
Apa yang pasti, ada kes lelaki
berpoligami mampu berlaku adil dalam segenap segi dan tidak kurang juga gagal
dengan hubungan antara isteri menjadi tegang sebab tidak reti berlaku adil dan
anak hidup melarat.
Poligami dibenarkan dalam Islam.
Terpulang kepada mereka apa tujuan berpoligami. Ramai yang berpoligami katanya
ingin mengikut sunnah Nabi. Nabi Muhammad SAW, berpoligami kerana ingin
membantu golongan wanita teraniya. Mampukan mereka mengikut cara Nabi Muhammad?
Bagaimanapun, sekarang dapat kita
saksikan ramai lelaki berpoligami milih perempuan muda dan sesetengahnya anak
dara sunti. Mengapa tidak ramai lelaki memilih yang andartu atau ibu tunggal
yang miskin melarat dan teraniya?
Mengulas berkaitannya, Perunding
Psikologi dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata menjadi pertikaian
sesetengah pihak mengenai pemilihan usia isteri baru.
Suzana berkata, jika dilihat
kisah Rasulullah SAW, baginda pernah berkahwin dengan wanita muda iaitu
Saiyidatina Aishah, dipinang selepas kewafatan Saiyidatina Khadijah serentak
bersama seorang ibu tunggal, Saudah Zamah.
“Isteri-isteri Rasulullah SAW
selepas Aishah terdiri daripada janda. Ada sebab perkahwinan berlaku dan
asasnya poligami diamalkan berkaitan dengan sosial dan kebajikan.
"Rasulullah SAW mengahwini
Saudah untuk membela kebajikannya selepas kematian suami. Begitu juga Ummu
Salamah yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah sebelum
bekas suaminya, Abu Salamah meninggal dunia anaknya Salamah masih kecil dan
memerlukan didikan.
“Dari sudut sosial pula,
Rasulullah berkahwin dengan Aisyah dan Hafsah sebagai
penghargaan kepada orang tua
mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar
Al-Khatab,” jelasnya.
Poligami pilih isteri muda
Wanita selalunya memerlukan suami
yang buka saja matang tetapi juga mempunyai pengetahuan dalam membimbing
mereka, justeru Suzana menegaskan, kebanyakan kes dikendalikannya lelaki muda
kurang menepati cita rasa wanita masa kini berbanding yang sudah berusia.
Katanya, bertepatan dengan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila orang yang engkau reda agama dan akhlaknya
datang meminang, maka berkahwinlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan
berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan besar.”
"Wanita memerlukan lelaki
sebagai suami sudah semestinya mampu bertindak sebagai pelindung dan
pembimbing. Lelaki berusia atau berdakwah ditambah lagi mempunyai ilmu agama
dan jelas bahkan mempraktikkannya, menjadi sebab wanita moden lebih mudah
tertarik,” katanya.
Apa yang penting perkahwinan
lebih daripada satu seharusnya untuk dinikmati, dipenuhi dengan tanggungjawab
dan mampu bertindak adil.
Katanya, ini bermaksud suami
mampu dan adil memberi nafkah zahir dan batin meliputi makanan minuman,
pakaian, tuntutan seks, giliran, jaminan keselamatan dan tempat tinggal.
Lantaran, haram berpoligami bagi
lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan itu.
“Fakta penting poligami bukanlah
dipelopori oleh agama Islam seperti didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam
dan bukan Islam. Ia sebenarnya diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China,
Yunani, Kristian dan Yahudi.
“Berdasarkan hukum syarak, lelaki
ingin berpoligami mestilah berkemampuan menyara keperluan keluarga sedia ada
dan mampu pula membiayai keperluan bakal isteri.
“Bukan saja kemampuan kewangan
sebaliknya fizikal untuk melaksanakan kehendak nafkah batin, memberikan
perhatian dan kasih sayang, mendidik dan membimbing keluarga ke jalan diredai
Allah,” katanya.
Masalah berbangkit
Timbalan Presiden Persatuan
Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie pula berkata, isu poligami, lelaki
sering disalah erti kerana kahwin lagi satu hanya kerana nafsu.
Katanya, sepatutnya apabila
lelaki tahu dirinya tidak mampu berlaku adil, jelas menunjukkan mereka tidak
mampu dan jika diteruskan berpoligami akan menjadi isu serta masalah dalam
kehidupan berkeluarga.
“Banyak kesan buruk akibat
poligami sekiranya suami gagal memenuhi syarat berpoligami dan pastinya wanita
akan terabai dalam pelbagai segi. Antara masalah berbangkit ialah nafkah
isteri, pergaulan dan hak giliran menjadi isu utama. Pengabaian tanggungjawab
ini memberi kesan secara langsung terhadap hati isteri yang sudah tentu akan
merasai perbezaannya sebelum tindakan suami berpoligami.
“Situasi inilah sebenarnya yang
tidak digalakkan oleh syarak. Inilah juga yang dikatakan diharamkan seperti
mana syarat yang diperhalusi oleh undang-undang. Kegagalan untuk melaksanakan
keadilan inilah yang menyebabkan poligami dipandang buruk dalam
masyarakat," katanya.
Kata Roshdan, perkahwinan itu
boleh menjadi haram jika suami tahu dirinya tidak mampu berlaku adil kepada
isteri lain tetapi tetap mahu berpoligami.
Pada asasnya, poligami menjadi
hak mutlak suami dan berdasarkan faktor itu, jelas keizinan isteri bukanlah
syarat membolehkan lelaki berpoligami.
“Bagaimanapun undang-undang sudah
dibataskan demi menjaga kemaslahatan dan kesucian perkahwinan itu sendiri. Ia
juga demi mengelak berlakunya penganiayaan terhadap isteri.
“Mampu berlaku adil’ itu perlu
menepati kehendak hukum syarak. Keadilan dianjurkan meliputi pemberian nafkah,
tempat tinggal, giliran, tempat tidur, pergaulan yang baik dan melaksanakan
kewajipan suami terhadap isteri lain.
“Oleh itu, undang-undang
menggariskan satu penilaian dan siasatan mahkamah sebelum membenarkan lelaki
berpoligami. Mahkamah akan menilai kemampuan secara zahir maka kebenaran akan
diberikan biarpun isteri sedia ada tidak bersetuju akan perkahwinan baru,”
jelasnya.
Syarat berpoligami:
Berdasarkan prinsip syarak, tiada
garis panduan khas diberikan ke atas individu untuk berpoligami melainkan
seorang suami itu perlu mampu berlaku adil.
Firman Allah dalam surah An Nisa
ayat 3 yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil
terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka
kahwinilah wanita-wanita (lain) kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian
jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja atau
hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada
tidak berbuat aniaya.”
Berdasarkan ayat itu, syarat
utama membolehkan seseorang lelaki berpoligami adalah “mampu berlaku adil”.
Jika mereka khuatir tidak maka cukuplah sekadar seorang isteri saja.
Pengertian itu secara tidak
langsung menjadikan hak mutlaknya di tangan suami.
Ia juga memberi erti bahawa
syarat ‘mampu adil” perlu diperhalusi dan dinilai oleh suami itu sendiri.
Jika perceraian berlaku:
Hak wanita atau isteri tidak kira
pertama, kedua, ketiga atau keempat dengan keluarganya terjamin berdasarkan
peruntukan digariskan undang-undang dan hukum syarak.
Wanita diceraikan berhak menuntut
haknya seperti nafkah edah, mutaah, harta sepencarian, faraid dan hak lain jika
ia menepati kehendak hukum syarak serta undang-undang.
Anak lahir daripada perkahwinan
itu juga berhak mendapatkan hak dan boleh dituntut jika tidak ditunaikan.
Tuntutan hak menjadi rumit jika
poligami tidak didaftarkan mengikut lunas undang-undang.
Sukar jika mahu merahsiakan
perkahwinan terutama untuk menuntut sebarang hak selepas perceraian.
Jika berlaku pernikahan di
sempadan atau di luar negara tanpa melalui prosedur diperuntukkan
undang-undang, isteri masih lagi mempunyai hak untuk menuntut di mahkamah.
Isteri sebegini perlu membuat
permohonan secara sah di mahkamah untuk menuntut segala hak wajar ke atasnya
dengan syarat pernikahan itu hendaklah didaftarkan terlebih dulu.
Perbezaan timbul kerana jika
poligami dibuat melalui kebenaran mahkamah atau prosedur undang-undang, sudah
pasti hak isteri akan ditentukan sebelum kebenaran berkahwin diberikan
mahkamah.
Bagaimanapun jika ia berlaku di
sempadan atau tanpa kebenaran mahkamah, hak itu tidak dapat ditentukan pada
masa itu. Bagaimanapun hak ini boleh dituntut walaupun perkahwinan berlaku.
Isteri boleh memfailkan permohonan secara berasingan untuk menuntut haknya di
mahkamah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan