Segala puji bagi Allah, Tuhan
sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga
ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai
tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan
peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun
sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang
peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah
perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh
dibahagikan kepada dua fasa.
1. Israk yakni perjalanan Nabi
SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di
Baitulmaqdis, Palestin.
2. Mikraj ialah perjalanan dari
Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah SAW ini
telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan
perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah
dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di
mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar.
Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja.
Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah
menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan
hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi
Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya
rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah
itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud
memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di
mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya
iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan
orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan
bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi
sama ada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang
benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan
penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda SAW menceritakan
apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir
bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda
SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah
memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu
membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat
kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang
ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas
menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan
bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda
telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman
kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi
Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau
digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga
diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di
dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini
seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan
Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih
tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan
Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati
Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman
ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan
dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang
bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa
yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk (Perjalanan dari
Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu
Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1. Negeri Thaibah (Madinah),
tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
2. Bukit Tursina, iaitu tempat
Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah,
3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa
AS dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda
Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat
menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut
adalah seperti berikut:
1. Kaum yang sedang bertanam dan
terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru
keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad
"Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali
ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2. Tempat yang berbau harum.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir
rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang
dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana
tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
3. Sekumpulan orang yang sedang
memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali,
lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
4. Sekumpulan orang yang hanya
menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau
seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum, lelaki dan
perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di
sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
6. Lelaki yang berenang dalam
sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
7. Lelaki yang menghimpun
seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang
lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih
menerima amanah yang lain.
8. Satu kaum yang sedang
menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap
kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail:
Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak
melakukannya.
9. Kaum yang mencakar muka dan
dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor lembu jantan yang
besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.
Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal,
tapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan
dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.
Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya,
nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk
di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya.
Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13. Seorang perempuan bongkok
tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah
gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa,
Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan
sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah SAW terasa dahaga,
lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW
memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul.
Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj (Naik ke
Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);
Didatangkan Mikraj (tangga) yang
indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu
terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah SAW
dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina
lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi SAW dan
Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa
AS dan Nabi Yahya AS.
Di Langit Ketiga: Naik langit
ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
Di Langit Keempat: Naik tangga
langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.
Di Langit Kelima: Naik tangga
langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani
Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga
langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS
Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa
hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga
langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan
berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu
dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman
syurga iaitu “La Haula Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi
Ibahim AS bersabda, "Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah,
Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La
Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa
lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan
bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah
disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu:
Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah.
Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi
permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak
terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan
melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini
berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam
nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki
yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering
basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu
bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda
Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat
menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah
dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT: Ya Muhammad.
Rasulullah: Labbaika.
Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan
bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau
telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar.
Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan
dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak
Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin,
manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan
izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang
mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah SWT: Aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada
umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik
umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa
sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu
perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam,
hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku
fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah SAW
di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh
Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan
jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan
lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah SAW turun ke langit
dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq
perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda
bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa
Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk
dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali
setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati
pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi
keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk
dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu
mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk
dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak
dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu
merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah
Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti
kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan
menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj
kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang
menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat
Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa
adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah.
Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam
ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan
Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu
saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai
Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh
saudara-saudara kita di Palestin.
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan