Kalam Maulana Arrif
SECARA spontan
ditanya kepada seorang anak muda, apakah makna Islam? Pemuda yang berakhlak
baik dan tidak pernah meninggalkan solat lima waktu itu tidak memberikan
jawapan apabila ditanya ketika berada dalam kereta hamba ke masjid untuk
menunaikan solat Jumaat.
Melihat dia terus
mendiamkan diri, lalu hamba syorkan supaya dia mencari dan memberikan
jawapannya pada minggu berikutnya. Dia masih menuntut di sebuah kolej dan
sering menumpang kereta hamba ke masjid. Pada minggu berikutnya, pemuda itu
memberikan jawapan di atas kertas hasil cariannya dalam Internet. Beginilah
definisi bertulis yang diberikannya.
''Perkataan Islam
bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah. Seorang penganut Islam
dikenali sebagai Muslim, bermaksud "seorang yang tunduk kepada
Allah."
''Islam adalah
berserah diri kepada Allah dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan taat dan
berlepas diri dari perbuatan syirik dan pelakunya. Barang siapa yang berserah
diri kepada Allah saja, maka dia adalah seorang Muslim. Dan barang siapa yang
berserah diri kepada Allah dan yang lainnya, maka dia adalah seorang musyrik.
Dan barang siapa yang tidak berserah diri kepada Allah, maka dia seorang kafir
yang sombong.
''Islam berasal
daripada bahasa Arab iaitu salam dan aslama. Salam bermakna selamat, sejahtera,
harmoni dan aman damai, manakala aslama bermakna tunduk dan patuh kepada
perintah Allah dengan keredaan atau menyerah diri hanya kepada-Nya
semata-mata.''
''Tepat sekali
definisi ini,'' jawab hamba kepadanya. Dia meminta hamba memberikan huraian,
tetapi masa perjalanan ke masjid yang singkat tidak mengizinkan. Hamba berjanji
akan menulis mengenainya. Ini juga satu perkara yang elok direnungi oleh setiap
orang yang mengaku Islam.
Adakah kita
sekadar Islam pada nama dan keturunan sahaja, atau lebih daripada itu?
Barang siapa
mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima
daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi - Ali-Imran 3:85
Amat benar bahawa
makna Islam ialah berserah diri kepada Allah. Apa itu berserah diri kepada
Allah mungkin berbeza pengertiannya. Umumnya kita beranggapan, jika seseorang
bukan Islam melafazkan dua kalimah syahadat, maka Islamlah dia. Dan jika
dilahirkan oleh ibubapa Islam, maka Islamlah dia. Kemudian, masyarakat beranggapan
bertambah Islamlah seseorang apabila dia menyempurnakan lima rukun Islam.
Pada Jumaat lalu,
Utusan Malaysia menyiarkan rencana berjudul ''Doa baik Allah makbulkan'' oleh
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Dr Aziz Jamaluddin. Antara
lain tulisannya itu menyebut:
''Seorang memuji
ahli ibadat yang lain dan berkata: ''Tentulah si polan itu ahli syurga kerana
dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah
ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam
untuk beribadat.'' Rasulullah SAW kemudian menjawab: '' Tidak! Dia ahli neraka!
Seluruh ibadahnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka
merosakkan orang dengan lidahnya.''
Memang benar,
beribadat dan kuat beribadat sahaja tidak menjamin seseorang masuk syurga.
Terlalu banyak
penegasan Allah di dalam Quran bahawa yang masuk syurga adalah orang yang
beriman dan beramal soleh. Dan salah satu ciri keimanan ialah ''berserah
diri.''
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah
hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka
(kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka berserah diri (bertawakkal). - Al
Anfaal 8:2
Ertinya orang
Islam mestilah memiliki iman. Salah satu ciri keimanan ialah berserah diri. Apa
itu berserah diri? Memadaikah sekadar bercakap bahawa ''saya berserah diri
kepada Allah.'' Berikut ini adalah satu analogi mudah yang boleh dikaitkan
dengan definisi berserah diri.
Menjadi kelaziman
termasuk di Malaysia, sesiapa yang mengalami sakit kepala akan menelan ubat
yang mengandungi bahan aktif paracetamol. Sesiapa sahaja akan membeli pil
paracetamol untuk sakit kepala kerana kemujarabannya terbukti.
Tetapi para ulama
telah mengatakan bahawa apa jua bentuk rawatan mestilah disertai dengan
penyerahan diri kepada Allah. Kita tidak boleh menganggap pil paracetamol yang
menyembuhkan kita, tetapi Allah yang mengizinkan ubat itu berkesan.
Lalu ada
sebilangan umat Islam yang membaca bismillah dan berdoa pendek sebelum menelan
pil paracetamol. Ada juga yang hanya membaca bismillah dan tidak berdoa. Tetapi
percayalah bahawa lebih ramai yang menelan pil paracetamol tanpa bismillah,
apatah lagi berdoa. Bagi mereka ini, perlu apa bismillah atau doa kerana orang
kafir pun sembuh daripada sakit kepala jika makan pil paracetamol.
Nah, siapakah
yang lebih berserah diri di antara tiga kategori penelan pil paracetamol itu?
Tetapi ada satu
lagi kategori orang Islam. Jika orang lain bersusah payah ke kedai mencari pil
paracetamol apabila mengalami sakit kepala, mereka ini bertindak lebih mudah.
Jika tiada pil paracetamol di rumah, mereka menelan air kosong sahaja. Mereka
ini yakin bahawa jika Allah mengizinkan, air sejuk pun boleh dijadikan ubat.
Tentulah didahului dengan bismillah dan doa.
Nah, siapakah
yang lebih berserah diri di antara empat golongan pesakit kepala itu?
Mereka yang
paling berserah diri ini juga sangat khusyuk dalam sembahyang, ibadat yang
paling utama. Apabila membaca al-Fatihah ketika bersolat, mereka benar-benar
berharap Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus sebagaimana maksud
ayat 6 dan 7 surah berkenaan:
''Tunjukkan kami
jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat
kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka
yang sesat.''
Ketika bersolat,
berapa ramaikah umat Islam yang benar-benar berharap Allah tunjukkan mereka ke
jalan yang lurus? Pada hal inilah anugerah yang terhebat daripada Allah kepada
manusia. Tiada yang lebih baik. Jalan inilah yang membolehkan manusia terus
bertemu dengan-Nya tanpa hisab pada hari pembalasan kelak. Malangnya kita hanya
membaca al-Fatihah sekadar untuk memenuhi syarat sah sembahyang. Bukan satu doa
yang dilafazkan dengan penuh harapan, disertai dengan rasa takut kalau-kalau
tidak dimakbulkan.
Dan janganlah
kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan
berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan
dimakbulkan).
Sesungguhnya
rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. - Al Araaf 7:56
Sudah tentulah
orang-orang yang berserah diri kepada Allah ini amat takut kepada-Nya. Mereka
tidak akan membuat kerosakan dalam apa bentuk sekalipun, termasuk kerosakan
yang berpunca daripada lidah. Sesungguhnya paling banyak kerosakan pada hari
ini, termasuk di Malaysia adalah berpunca daripada lidah yang suka memfitnah,
berbohong, mencerca, mengadu-domba, mengumpat dan pelbagai lagi.
Mereka yang
berserah diri sentiasa berdoa, sekalipun untuk hajat dan urusan kecil, apatah
lagi urusan besar. Sekalipun sesuatu yang dihajati amat pasti akan diperoleh,
mereka tetap berharap kepada ketentuan terbaik dari Allah. Amat ikhlas dan
benar ikrar penyerahan diri mereka dalam doa iftitah di awal solat yang
bermaksud ''solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah.''
Dalam ruangan
yang terhad, inilah jawapan hamba kepada si pemuda yang meminta huraian definisi
Islam itu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan