Oleh : Muhamad Farid Yusof
Facebook (FB)
merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada
sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah
pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24
tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB
sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com. FB yang dilancarkan
pada 2004 diilhamkan oleh Mark Zuckerberg, ketika berumur 21 tahun seorang
lulusan Harvard umumnya bertujuan memudahkan penggunanya untuk bersosial secara
aktif dengan kenalan mereka serta menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu
secara cepat dan berkesan. Oleh demikian, FB mempunyai kelebihan yang perlu
digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah serta menerokanya dalam
ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu sendiri.
Namun,
persoalannya, sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan
sebagai medium dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat
yang melekakan dan mengurangkan produktiviti masyarakat? Jawapan kepada
persoalan ini sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan
cabaran baru yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang
terbatas kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah
masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti
berlaku pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Oleh yang demikian, umat Islam
perlu mula memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak
ketinggalan dalam peredaran zaman globalisasi kini.
Antara langkah
utama setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi
mestilah bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar
mencetuskan perubahan kepada diri manusia sebagaimana mafhum daripada Surah An
Nahl ayat 125. Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita
mendisiplinkan diri semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan
dan gaya bahasa yang baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah
dengan menggunakan segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall
Post, Notes, Pictures Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah
kepada pengguna Facebook.
Selain itu , kita
boleh kongsikan aktiviti harian dan pengalaman berbentuk pengajaran yang
disulami dengan ayat-ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW sebagai bahan
dakwah yang berkesan kerana ia boleh di likes dan di-share kan oleh semua
pengguna FB serata dunia hanya dalam beberapa saat. Contohnya, status FB
berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti
Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu
pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111
,000 pengguna laman sosial itu. Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga
mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang
sesuai.
Dr. Zaharuddin
Abd Rahman dalam laporan Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Capaian
dakwah maya lebih meluas" berkata bahawa media baru kini umpama ribut
tsunami kerana ia berupaya mempopularkan seseorang serta menyebarkan pengaruh
dalam masa yang amat singkat. Beliau juga berkata hampir, semua orang mempunyai
akaun FB sendiri, semestinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri dalam
laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang dikemas kini akan dibaca
oleh setiap rakan maka pendakwah perlu segera merancang dan mengambil
kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan Islam melalui pendekatan
yang santai dan digemari tersebut. Strategi yang digunakan untuk menyampaikan
dakwah perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran
semasa.
Sekiranya kita
sebagai pendakwah mampu memanfaatkan FB dengan memaksimumkan kreativiti,
pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada
pembaca serta medium berguna untuk kita sebarkan link blog dan mempromosikan
artikel dakwah yang ditulis. Sebagai contoh, laman web iluvislam.com mempunyai
pengikut hampir satu juta di laman sosial FB, bahkan setiap artikel dan hasil
penulisannya sering di-likes dan di-copy serta di-share oleh pengguna FB dalam
masa beberapa minit ia dikeluarkan. Kini, ia menjadi tempat rujukan utama oleh
pengguna FB untuk mendapatkan bahan-bahan dakwah. Penguasaan FB oleh umat Islam
mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak
bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.
Jika hal ini
menjadi kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan
minda seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu,
penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang
berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan. Sewajarnya, FB boleh dijadikan
medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan
masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status'
tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut
dikongsi oleh mereka. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman
sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India
mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat
dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa. FB
menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.
Penulis ialah Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan