OLEH : RAZLAN RASHID
JIKA Britain
mempunyai British Special Air Service (SAS), Amerika Syarikat dengan Navy
Sealsnya dan Israel dengan Shayetet 13, Palestin mempunyai kelas tersendiri
dengan tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Ezzedeen Al-Qassam atau
lebih dikenali sebagai Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis.
Al-Qassam, sebuah
sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh pejuang Palestin seperti
Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada
tahun 1984.
Nama Al-Qassam
adalah sempena nama pejuang yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935,
Ezzedeen Al-Qassam.
Baru-baru ini,
penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri dokumentari dijemput oleh
kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi
menyaksikan satu demonstrasi latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan,
peluang itu jarang sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar.
Penulis diberi taklimat
oleh komander yang tidak mahu dikenali atas tujuan keselamatan. Beliau berkata,
briged elit itu dianggotai oleh pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif
utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci Palestin daripada
penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah Palestin dan seluruh tanahnya
yang dirampas di Tebing Barat serta memantapkan semangat jihad dalam kalangan
orang Palestin," katanya.
Apabila ditanya
jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander tersebut yang pada mulanya
enggan menjawab memberitahu, bilangannya dalam lingkungan 25,000 orang.
Peraturan
"Peraturan
kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari
secara berjemaah," ujarnya.
Tambah beliau,
Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling
penting.
"Kami
menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah sekali tentera
kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid. Kami menghantar tentera
wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi menyerahkan baju lain kepada anggota
yang terperangkap. Kemudian mereka berlakon keluar seperti orang biasa.
"Walaupun
kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap berjaya kerana begitu
ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.
Sudah menjadi
perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di Gaza bukan
kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi latihan Al-Qassam.
"Di daerah
Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk memasuki tanah Gaza
dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa bersedia setiap masa," kata
seorang tentera Al-Qassam.
Briged ini juga
terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri buatan sendiri yang dikeluarkan
dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza
dan sering membawa kemusnahan yang dahsyat sehinggakan media Israel
menggelarkan setiap roket yang memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.
Penulis disajikan
dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20 tentera yang memainkan
pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan dua kumpulan yang menyerang
sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan lain bertindak sebagai pasukan
bantuan. Satu lagi pasukan akan memastikan tiadanya bantuan daripada tentera
musuh (Israel).
Demonstrasi itu
menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan, senapang AK-47 dan roket
grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan betapa hebatnya generasi muda ini dan
wajarlah tentera Israel seramai 700,000 orang cukup gerun dengan Al-Qassam.
Sesudah sesi
latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan bersujud syukur - satu amalan
penting setiap kali sesudah satu peperangan melawan tentera Zionis.
Penulis juga
dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam sebelum mereka bergegas untuk
menunaikan solat Asar. Namun, penulis diberitahu rakaman gambar tidak
dibenarkan kerana ingin merahsiakan identiti setiap anggota mereka.
Penulis terkejut
apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya mempunyai muka bersih
dan bersinar, jelas nampak keikhlasan untuk menjadi tentera Islam yang tidak
takut mati.
Salah seorang
tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila disebut Malaysia, beliau
menjawab: "Tanah ini milik kamu juga."
Jawapannya membuat
penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam.
Sejak Intifada
pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah mati syahid. Bahkan apabila
seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada peperangan, mereka sering akan
bertanyakan kepada diri sendiri - 'Mengapakah saya tidak syahid?
Sumber : http://www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan