Oleh Nik Salida
Shuhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
Perlakuan ditegah
agama boleh gugat nama baik umat, masyarakat Islam
HARI ini dunia
komunikasi yang luas dan pantas memudahkan penyampaian berita serta maklumat.
Ia menjadi sebahagian medium perantara yang berkesan serta mengeratkan hubungan
saudara sesama insan.
Malangnya,
kemajuan teknologi maklumat turut disalah guna untuk menyebarkan berita palsu
dan pembohongan bertujuan memfitnah serta memecahbelahkan manusia. Rasulullah
SAW tidak mengiktiraf orang yang berbohong sebagai seorang Muslim.
‘Abul Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Shafwan bin Sulaim berkata, Rasulullah SAW
ditanya: “Adakah seseorang Muslim itu penakut? Jawab Nabi: Mungkin. Ditanya
lagi: Adakah mungkin ia bakhil? Nabi menjawab: Mungkin. Ditanya lagi: Adakah
mungkin ia dusta? Jawab Nabi: Tidak.”
Tidak dapat
dipastikan tujuan manusia berbohong sama ada melalui perkataan atau perbuatan.
Ada yang berdusta kepada diri sendiri, sekali gus menunjukkan kehinaan dan
gambaran tingkah laku yang kotor dan jijik, sedangkan sifat dituntut agama
ialah sifat ‘siddiq’ iaitu benar.
Sifat benar adalah
salah satu sifat Allah seperti mana yang disebut dalam firman yang bermaksud:
“Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya selain daripada Allah?” (Surah
al-Nisa’, ayat 87)
Antara sifat
siddiq ialah benar pada niat, tidak terdorong untuk berbuat baik melainkan
kerana Allah SWT; benar pada lidah dengan menyampaikan sesuatu berita yang
betul, tepat serta benar pada janji dan amanah.
Sifat benar mampu
memberi ketenangan kepada jiwa yang mulia dan sifat mereka-reka cerita atau
berbohong akan menggelisahkan hati, selain menjadikan seseorang itu resah serta
kebingungan.
Muslim yang baik
tentunya tahu semua setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan ke atasnya
kelak di mahkamah Allah SWT dan tahu dirinya selalu diawasi Allah SWT, setiap
amalnya mempunyai catatan dan nilai di sisi-Nya.
Ia selalu berusaha
untuk jujur dan benar dalam segala perbuatannya, bahkan ia lebih memilih diam
daripada mengucapkan sesuatu yang tidak baik, merugikan diri sendiri serta
orang lain.
Sungguhpun begitu,
berkata benar boleh juga menjadi sesuatu yang tidak dianjurkan Islam, jika
siddiq tidak membawa maslahat mulia, sebaliknya mendatangkan mudarat lebih
besar. Dalam hal ini, berbohong adalah dibolehkan, bahkan ia wajib untuk
dilakukan.
Walau
bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ada syarat tertentu yang membolehkan
pendustaan. Jika sesuatu yang mulia ingin dilakukan dan ia dapat diraih atau
dicapai tanpa berdusta atau berbohong, maka berdusta dalam keadaan ini haram
hukumnya.
Tetapi jika
sebaliknya, iaitu tidak ada cara lain dapat mencapai tujuan yang mulia dan
terpuji serta kebaikan lebih besar melainkan dengan berdusta, maka dusta pada
keadaan seperti ini adalah dibolehkan.
Bahkan ulama
menjelaskan hukum dibolehkan berdusta iaitu jika maksud ingin dicapai adalah
sesuatu yang mubah (boleh dikerjakan atau ditinggalkan), maka dusta saat itu
hukumnya mubah. Jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang wajib, maka dusta
saat itu pun menjadi wajib.
Sabda Rasulullah
SAW dalam hadis Ummu Kultsum, yang bermaksud: “Aku telah mendengar Rasulullah
SAW bersabda: Tidaklah dikatakan pendusta orang yang mendamaikan manusia (yang
berseteru), melainkan apa yang dikatakan adalah kebaikan.” (Hadis Muttafaq
'Alaih)
Tetapi sebahagian
ulama antaranya al-Imam an-Nawawi Rahimahullah dan Syaikh Ibnu Utsaimin
Hafizhahullah berpendapat, sikap lebih hati-hati dan utama dalam hal ini adalah
melakukan ‘tauriyah’ iaitu pada zahir lafaznya dusta, tetapi sebenarnya tidak
berdusta jika disandarkan kepada maksudnya.
Walau bagaimanapun,
meninggalkan tauriyah dan tetap dengan ungkapan dusta tidak diharamkan dalam
keadaan yang membolehkan dusta.
Contoh ‘tauriyah’
ialah kisah diriwayatkan Bukhari ketika Rasulullah SAW membonceng kenderaan Abu
Bakar, di tengah perjalanan ada seseorang bertanya Abu Bakar mengenai
Rasulullah SAW, lalu beliau menunjukkan kepada Rasulullah SAW dan mengatakan,
ini adalah penunjuk jalanku.
Maka orang yang
bertanya itu menganggap jalan yang dimaksudkan adalah makna hakiki, padahal
maksud Abu Bakar adalah jalan kebaikan, semata-mata demi kemaslahatan
Rasulullah SAW daripada ancaman musuh Baginda.
Justeru, yang
terbaik ialah menjauhi pembohongan, baik melalui perkataan mahupun perbuatan
kerana ia boleh menggugat nama baik agama dan umat Islam seluruhnya. Islam bukanlah
agama yang menganjurkan penipuan, melainkan dalam keadaan sangat terdesak dan
menjauhi kemudaratan.
Penulis ialah
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam
Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan