Jumaat, 8 Jun 2012

Hayati al-Quran sebagai panduan hidup bina jati diri



ALLAH SWT mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya berbanding kitab lain. 


Ia juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”


Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, sudah pasti akan membuahkan kesejahteraan dan kecemerlangan.


Justeru, bagi mengekalkan al-Quran dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap Muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 

Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran mengubah pola kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak lain kerana disuluh al-Quran. 

Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin mencipta kejayaan sama ada dalam aspek kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa depan hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. 

Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur memahami al-Quran dan beramal dengannya. 


Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi orang Islam, bahkan ia juga dikagumi orang bukan Islam. Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam memeluk Islam selepas memahami dan meneliti maksud ayat al-Quran. 

Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada 1978 beliau dihadiahkan kitab al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris. Selepas membaca terjemahan al-Quran itu dan memahaminya, beliau memeluk Islam. 

Demikian juga dengan Dr Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Injil dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam.” 

Sebagai umat yang beriman, maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dalam sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. 

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. 

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dalam kalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat al-Quran sebagai hiasan di rumah. 

Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sekadar ‘kitab berkat’. Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu dengan membaca atau mengamalkan beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mempercepat dapat jodoh dan lain-lain tujuan tertentu. 

Marilah kita menjadikan budaya ilmu di dalam al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. 

Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama, wujud tiga golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari membacanya. Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran dan ketiga: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya. 

Bersempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-55 di Johor Baharu, Johor bermula 4 hingga 8 Jun ini, mimbar menyeru jemaah bersama-sama membudayakan al-Quran dalam kehidupan. 

Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. 

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: ‘Sesiapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi ‘alif’ satu huruf dan ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ satu huruf.” (Riwayat Tirmizi).


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

1 ulasan:


  1. Bismillahir Rahmanir Rahmanirahim

    https://keep.line.me/s/e3CDyq3Xh6tfeqo-Q1f-HigFRyCYa00QAvqdfwTEsuI

    Salam dan renungan

    Web: almawaddah.info

    Kepada;

    Yang dihormati Para rektor universiti, para akademik dan para mufti.

    Tun, Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/tuan/puan.

    Perkara: "Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertentangan dengan al-Qur'an dan ayat-ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah" sebagai kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah.info

    1. Tidakkah al-Qur'an itu asas agama Islam yang diredai oleh Allah dan Rasul-Nya?

    2. Tidakkah Islam itu rahmatan lil Alamin?

    Terima kasih dan 'afwan.

    Daripada;

    Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.







    .....

    BalasPadam