HASAN AL- BANNA MOHAMED
Rejab adalah satu daripada Bulan Hijriah dalam kalendar
Islam yang sering dijadikan tanda bagi umat Islam untuk belajar dan berlatih
puasa sunat.
Walaupun puasa sunat ini sebenarnya boleh dilakukan pada
bila-bila masa sahaja kecuali pada hari yang dilarang dalam Islam.
Namun, secara tidak sedar sekarang mula memasuki Syaaban dan
akan tiba pula Sayyidul Syahri (Penghulu Segala Bulan) yang penuh dengan
keberkatan daripada Ilahi iaitu Ramadan.
Sebenarnya Syaaban juga sering dijadikan satu lagi penanda
aras untuk mula melakukan ibadat khususnya puasa sunat.
Ramailah kalangan umat Islam berpuasa sebagai persediaan dan
latihan untuk melakukan ibadat yang ditunggu-tunggu hampir setahun yang lalu.
Tidak dinafi kan ramai juga yang beristiqamah dalam Rejab
dan diteruskan serta dilipatgandakan lagi ibadat sunat apabila menjelmanya
Syabaan.
Bulan ini juga mula berkumandanglah sebuah hadis yang
popular sejak dahulu lagi iaitu: “Rejab adalah bulan ALLAH, Syabaan adalah
bulan ku (Rasulullah SAW) dan Ramadan adalah bulan umat ku”.
Walaupun ditegaskan oleh Ibnu Jauzi bahawa hadis ini adalah
hadis mauduk (ciptaan) semata-mata, namun, umat Islam masih tetap dengan
penghayatan amalan tersebut pada Syaaban.
Apa pun, amalan
ibadah tersebut seharusnya tidak terikat untuk pada bulan tertentu sahaja,
tetapi pada bulan yang lain bergelumang dengan dosa dan noda terhadap ALLAH
SWT.
Perkara yang paling penting, umat Islam wajib bertingkah
laku sebaik mungkin dengan sifat Mahmudah melalui contoh teladan Rasulullah SAW
pada setiap masa.
Sebenarnya banyak lagi sunah Rasulullah SAW boleh diikuti
sepanjang Syaaban ini dan Ramadan yang bakal tiba nanti.
Diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim RA iaitu:
Sayidatina Aisyah RA berkata: “Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih
banyak melainkan ketika Syabaan (selain Ramadan). Sesungguhnya Baginda SAW
telah berpuasa sebulan penuh”.
Kemudian Imam Ahmad dan Imam al-Nasaie meriwayatkan bahawa
daripada Usman bin Zaid pernah menceritakan bahawa beliau bertanya kepada
Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya
puasa tuan pada bulan-bulan lain seperti Syaaban.
Lalu Baginda SAW menjawab: Itulah bulan (Syaaban) di mana
ramai manusia lalai mengenainya iaitu bulan di antara bulan Rejab dan Ramadhan,
ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian
alam. Oleh itu, saya amat suka sekiranya amalan saya diangkat ketika saya
sedang berpuasa”.
Riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Yusof juga
menceritakan bahawa Sayidatina Aisyah RA meriwayatkan: “Saya tidak pernah
melihat Rasulullah SAW berpuasa sehinggakan saya mengatakan Baginda tidak
berbuka, dan Baginda berbuka sehinggakan saya mengatakan Baginda tidak
berpuasa, dan saya tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya satu
bulan melainkan dalam bulan Ramadan, dan saya tidak melihat Baginda berpuasa
dalam satu-satu bulan melebihi dari puasa Baginda dalam Syaaban”.
Kesemua anjuran yang dinyatakan tersebut sebenarnya
mendorong umat Islam agar sentiasa melakukan ibadat bersungguh-sungguh dengan
sifat Ihsan hanya kepada ALLAH SWT.
Maka Syaaban inilah boleh dijadikan sebagai bulan latihan
dan persiapan rapi untuk menggandakan ibadat umat Islam demi menjelangnya Ramadan
nanti.
Janganlah sekarang ini sibuk bersengkang mata, berjaga malam
dan tidur lewat untuk menonton perlawanan bola sepak Euro 2012, tetapi apabila
datangnya Ramadan, ada yang tewas dan tidak mampu berbuat sedemikian demi
Qiamullail, bertadarus membaca al-Quran, mengeluarkan zakat, berpuasa pada
siangnya dan menjaga nafsu daripada dugaan duniawi.
Selain itu, Syaaban juga terkenal dengan satu peristiwa
besar dalam Sirah Nabawiyah iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat umat Islam.
Sesungguhnya kiblat pertama dalam Islam ialah Baitul Maqdis
di Palestin yang didakwa orang Yahudi bahawa ajaran Islam ini sebenarnya
menyamai dan turut mengiktiraf kebenaran agama mereka.
Fenomena seperti ini merisaukan Rasulullah SAW sehinggakan
Baginda memandang ke langit beberapa kali menanti wahyu daripada Ilahi agar
ditukarkan arah kiblat kembali kepada Kaabah seperti pada zaman Nabi Ibrahim
AS.
Akhirnya ALLAH SWT menurunkan ayat suci al- Quran sebagai
arahan pindaan kiblat dari Baitul Maqdis ke arah Baitullahil Haram di Mekah.
Bermula saat itu, seluruh umat Islam sehingga kini bersatu
arah hanya menghadap Kaabah sahaja sebagai syarat utama bagi sesuatu ibadat
seperti solat fardu dan sebagainya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Kerap kali Kami melihat
engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami
benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu palingkanlah muka mu ke arah masjid al- Haraam
(tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah
diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu
adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan ALLAH tidak sekali-kali lalai
akan apa yang mereka lakukan”. (Surah Al-Baqarah : 144)
Secara tuntasnya, marilah sama-sama menghayati iktibar
peristiwa yang besar pada Syaaban ini agar umat Islam sentiasa hebat,
berkualiti dan cemerlang dalam segala aspek duniawi mahupun ukhrawi. Jadilah
insan Muslim sejati yang mempunyai nilai ajaran Islam yang sebenar, tidak
terpengaruh dengan hedonisme dan materialistik seperti anjuran Yahudi dan
Nasrani.
Tetap teguh memperjuangkan Sinar Nur Islam dengan
memperbanyakkan ibadat kepada ALLAH SWT, menjauhi segala Maksiat, gandakan
ibadat Qiamullail, puasa sunat, dan solat taubat apabila menjelangnya malam
Nisfu Syaaban.
Selain itu, kukuhkan silaturahim antara sesama Muslim,
buangkan perbezaan yang ada serta mencari persamaan dan perkukuhkan perpaduan
antara kita. Di samping, terus beristiqamah memohon keampunan ke hadrat ILAHI
melalui doa, perbuatan amal kebaikan dan kebajikan serta yang paling penting
jauhilah daripada sifat fi tnah-memfi tnah khususnya pada bulan yang mulia
nanti iaitu Ramadan al-Mubarak.
Hadis Rasulullah SAW juga menegaskan agar jauhi dari
perbuatan fi tnah-memfitnah kerana ia lebih dahsyat daripada dosa membunuh!
Bersedialah umat Islam dengan sepenuhnya untuk menyambut
ketibaan Ramadan yang ada di dalamnya satu malam yang dikenali Lailatul Qadr.
Lafazlah dengan ucapan selamat datang Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan al-Mubarak.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan