ABD RAZAK MUTHALIB
ALLAH SWT mengutus rasul dan menurunkan kitab serta disediakan batas arahan
dan larangan kepada manusia. Inilah yang disebut sebagai syariat. Ini bertujuan
supaya manusia mengabdikan diri dan mentauhidkan ALLAH SWT dalam semua keadaan
dan tingkah lakunya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia
itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah Al-Zariyat : 56) Segala
bentuk ibadah tidak akan diterima ALLAH melainkan ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang
dilakukan Rasulullah SAW. Ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak
diterima ALLAH apatah lagi untuk diberi ganjaran.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang percaya dan
mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh
dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi : 110) Imam Ibn
Kathir (wafat 774 H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan: “Sesiapa yang
mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan
yang bertepatan dengan syariat ALLAH, dan hanya kerana ALLAH (ikhlas) serta
tidak ada sekutu bagi-Nya.
Inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan
ikhlas kepada ALLAH dan menepati syariat yang dibawa Rasulullah SAW”. (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al- ‘Azim
(Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).
Perlu ikut syariat
Menjadi kebiasaan sebahagian umat Islam untuk menghidupkan bulan Rejab
dengan amalan tertentu. Persoalannya, adakah amalan tersebut dilakukan dengan
ikhlas dan menepati sunah Rasulullah untuk
melayakkan amalan tersebut diterima?
Menyentuh persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi
adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah?
Justeru, menjadi kewajipan ke atas Muslim
untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya bertepatan dengan
syariat dan sama dengan cara Rasulullah SAW.
Antara amalan pada Rejab yang tidak menepati sunnah Rasulullah SAW ialah:
1) Menghidupkan malam ke- 27, dan dinamakan dengan
malam al-Isra’ wa al-Mikraj.
Sememangnya peristiwa al- Isra’ wa al-Mi’raj adalah antara peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ia
bukti kebesaran ALLAH SWT dan kebenaran Nabi Muhamad SAW serta risalah yang
dibawa baginda.
Sebahagian umat Islam menyambut dan menghidupkan malam tersebut dengan amalan khusus dengan mengharapkan fadilat
tertentu. Tetapi pendapat ini tidak tepat sepertimana yang disebut Syeikh
Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: “Malam ini (27 Rejab) yang dikatakan berlaku
padanya peristiwa al-Isra’ wa al- Mi’raj, tidak ada satu hadis sahih pun yang
menyebut mengenai tarikh peristiwa ini secara khusus. Di sisi ulama hadis,
semua pendapat yang menyebut tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus
adalah tidak benar daripada Rasulullah.
Kepada ALLAH jua diserahkan segala hikmah di sebalik kerahsiaan ini kepada
manusia. Sekiranya terdapat hadis sahih yang menjelaskan tarikh peristiwa ini
pun, kita tetap juga tidak dianjurkan untuk menghidupkan malam ini dengan
amalan khusus. Tidak juga untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana
Rasulullah dan Sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang
amalan yang khusus.
Sekiranya menghidupkan atau
merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi SAW
akan menunjukkan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya.
Sekiranya amalan ini pernah dilakukan Baginda SAW, semestinya akan
diketahui dan masyhur serta akan disampaikan golongan Sahabat kepada kita”.
(Rujuk: Abdullah bin Abd al- Aziz bin Baz, al-Tahzir min al- Bida’, cetakan
ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).
2) Solat Raghaib
Solat ini dilakukan berdasarkan kepada hadis maudu’ (palsu) yang
diriwayatkan Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Rejab bulan
ALLAH, Syaaban bulan ku, dan Ramadan bulan umat ku... Dan tidak ada seorang pun
yang berpuasa pada Khamis yang pertama dalam Rejab kemudian melakukan solat
antara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan
pada malam Jumaat sebanyak 12 rakaat...
- Hadis ini dimasukkan Ibn al-Jauzi, dalam kitabnya al- Maudhu‘at, jilid 2, m/s
124-125. Kemudian, Ibn al-Jauzi menyebut: “Hadis ini adalah palsu dan dusta ke
atas Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal
dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Golongan rawinya
majhul (tidak dikenali) dan disemak mengenai peribadi mereka ini di dalam semua
kitab tetapi tidak kutemui mengenai
mereka”.
3) Berpuasa penuh Rejab
Sebahagian umat Islam akan berpuasa penuh sepanjang Rejab dan menganggap ia
mempunyai fadilat yang khusus. Tetapi malangnya, fadilat khas amalan ini
tidak bersumberkan al-Quran atau hadis
yang sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis yang maudu’ (palsu).
1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan daripada riwayat Muhamad bin Abdul - Baqi daripada Abu Bakar Muhamad bin al-Hassan
al - Naqqasy, daripada Abu Said RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rejab
adalah bulan ALLAH, Syaaban bulan ku dan Ramadan bulan umat ku, maka siapa yang
berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari ALLAH,
maka dia wajib mendapat keredaan ALLAH Yang Maha Agung dan ditempatkannya di
Syurga al- Firdaus yang tertinggi... - Ibnu al-Jawzi menyatakan hadis ini
adalah palsu.
2. Ibnu Shahin meriwayatkan daripada
Ali RA daripada Harun bin ‘Antarah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Rejab adalah bulan yang agung, maka sesiapa yang berpuasa sehari
Rejab nescaya ALLAH menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari Rejab maka Allah menuliskan
baginya puasa dua ribu tahun... -
Menurut Ibnu ‘Arraq: Hadis ini adalah palsu tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah
pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadis. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menyentuh perkara ini berkata: “Tidak
terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah yang menyebut mengenai fadilat khusus
Rejab, atau fadilat berpuasa (sepenuhnya) pada bulan ini, atau berpuasa
sebahagiannya, atau enghidupkan malamnya
yang khusus”. (Rujuk: Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab,
m/s 23).
Selain itu, terdapat amalan “Istighfar Rejab” yang disebutkan fadilatnya
ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia
akan mendapat pahala sebanyak 80,000 pahala Nabi.
Ada juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini kerana
dianggap mempunyai fadilat yang khusus jika dilakukan. Demikian sebahagian
amalan yang biasa dilakukan umat Islam dalam Rejab yang tidak bersumberkan
daripada Rasulullah SAW. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah
amalan tersebut akan diterima oleh ALLAH
dan mendapat ganjarannya? Atau ia tidak mendapat apa-apa kecuali penat
dan letih sahaja.
Semoga ALLAH SWT mengampunkan kesalahan yang dilakukan atas kejahilan kita.
Marilah sama-sama untuk membanteras kegiatan penyebaran hadis palsu dalam
kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang dilakukan benar-benar menepati sunnah
Rasulullah SAW dan diiringi dengan keikhlasan kepada ALLAH SWT.
*Penulis ialah pensyarah di International Islamic College (IIC)
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan