JOHOR BAHRU: Qari dari Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali dan
Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Minah Che Awang masing-masing diumumkan
johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 di sini Jumaat.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000,
piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan ibadat haji beserta cenderamata
dan sijil penyertaan.
Muhammad Anuar, 36, seorang guru pendidikan Islam memperoleh
markah 93.66 peratus manakala Che Minah, 57, guru al-Quran pula memperoleh
84.33 peratus.
Negeri Pahang pula diumumkan sebagai johan keseluruhan
majlis tilawah tersebut.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith
Sofiah Sultan Idris berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Sementara itu, naib johan pula ialah qari dari Pahang,
Zul-Hasyimi Mohamed Yunus (87.99 peratus) dan qariah dari Sabah, Nur Faten
Izzati Rablin (79 peratus).
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,000, pakej
menunaikan ibadat haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga pula qari dari Sabah, Mohamad Raffe Ghalil
Abbas (86.68 peratus) dan qariah dari Kedah, Marzian Mohd Deli (78.67 peratus).
Mereka menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji,
cenderamata dan sijil penyertaan.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim dan kerabat diraja lain
turut berkenan berangkat ke majlis tilawah itu yang berlangsung di Persada
Johor di sini.
Selain itu majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Johor, Datuk
Abdul Ghani Othman serta isteri Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin.
Seramai 27 qari dan qariah menyertai tilawah yang
berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu dan bertemakan 'Persefahaman Asas
Perpaduan Ummah'. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan