Oleh : IBRAHIM ABDULLAH
PARA ulama sependapat bahawa
peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, malam Jumaat, tahun ke-41
daripada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ memberi makna turun
atau berpindah dari atas ke bawah iaitu al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz
ke Baitul Izzah (langit dunia) dengan sekali gus dan bukan beransur-ansur.
Al-Quran bermakna ‘bacaan’ yang
di dalamnya terkandung ayat-ayat (tanda-tanda) yang menjelaskan segala perkara
meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayah, muamalat, sains, teknologi,
tatanegara dan sebagainya. Ahli tafsir memberi pengertian dengan bacaan itu
ialah merenung dan memperhatikan segala penciptaan ALLAH SWT di langit dan di
bumi yang meliputi alam semesta ciptaan-Nya.
Al-Quran merupakan mukjizat
teragung dan terbesar di sepanjang zaman yang dianugerahkan ALLAH kepada Nabi
Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman. Al-Quran dapat dipegang, dibaca, dilihat
oleh semua manusia untuk panduan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan membaca
isi kandungan al-Quran banyak orang mendapat petunjuk terutama dalam kalangan
masyarakat Barat.
Manakala ayat al-Quran yang
mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah surah al-’Alaq, ayat 1
hingga ayat 5 yang bermaksud : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu
yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah
beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui
pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang belum diketahuinya.”
Hubungan Nuzul al-Quran dan
Lailatulqadar amatlah rapat antara satu sama lain sebagaimana diterangkan dalam
al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Firman ALLAH dalam surah al-Qadar (rujuk
ayat 1-5).
Dalam hadis, Aisyah meriwayatkan
bahawa Rasulullah bersabda, bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui
malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadan. Para ulama menyatakan malammalam ganjil itu ialah 21,
23, 25, 27 dan 29. Namun malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh ALLAH
agar setiap umat Islam menghayati 10 malam terakhir bulan Ramadan.
Oleh sebab itu sama-samalah kita
menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai suatu peristiwa besar dan malam
Lailatulqadar yang penuh makna dan hikmah itu. Semestinya kita melihat al-
Quran sebagai ‘kitab suci’ dan ummul kitab (ibu segala kitab) di bawah kolong
langit ini yang memberi panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan dan
menyatupadukan ummah manusia seluruhnya.
Memajukan umat Islam daripada
perpecahan sesama sendiri, memajukan bidang ekonomi dan pembangunan sejagat,
melalui penguasaan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi sebagaimana yang
diajarkan oleh al-Quran.
Keadaan ini menguatkan lagi
bahawa pembacaan dan penulisan menjadi alat dan perkara utama dalam penguasaan
ilmu pengetahuan dan pembangunan bangsa dan negara.
Di samping membaca al-Quran
sebagai ibadat, boleh ditingkatkan lagi dengan membaca al-Quran kepada
menganalisis, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di
dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan dan kajian yang akhirnya
memajukan dunia ini, terutama untuk memajukan umat Islam daripada penindasan
dan kekejaman dari semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan