Lailatulqadar adalah malam
berlaku pada Ramadan, malam penuh keberkatan kerana Allah SWT mencucuri
pelbagai rahmat, keampunan serta keberkatan kepada mereka yang beramal dengan
khusyuk, penuh ikhlas.
Allah SWT berfirman: Sesungguhnya
Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya
Kamilah yang memberi peringatan. (Surah ad-Dukhan, ayat 3) Firman-Nya lagi:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan. (Surah
al-Qadr, ayat 1).
Mereka yang beramal pada malam
itu, Allah SWT berikan ganjaran kebaikan yang sama nilai dengan beramal seribu
bulan. Firman Allah SWT: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
(Surah al-Qadr, ayat 3)
Ada beberapa laporan menceritakan
sebab Allah SWT menurunkan malam al-Qadar untuk Nabi Muhammad SAW. Menurut Imam
Malik, Rasulullah SAW mendapati umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum
mereka.
Peluang umat beramal
Baginda SAW memohon kepada Allah
SWT memberi peluang umatnya supaya dapat beramal sama nilainya dengan amalan
umat sebelum mereka. Berdasarkan permohonan inilah Allah SWT menurunkan
lailatulqadar.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat malam itu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana al-Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan Nabi-Nya bagi menyeru manusia kepada agama dan melepaskan mereka daripada segala kerosakan.
Pendapat ulama
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar,
ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata sebahagian ulama
menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun.
Ertinya apabila tahun ini berlaku
pada malam 29 Ramadan, jadi tahun akan datang pada malam berbeza. Hal sama
dikatakan Ibn Hazim, lailatulqadar ada kalanya malam 21, 23, 25, 27 atau 29
Ramadan.
Menurut jumhur ulama, malam
lailatulqadar berlaku pada malam sama setiap Ramadan iaitu malam 27 Ramadan
berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Ubai bin Kaab yang dilaporkan Tirmizi
dan hadis daripada Muawiyah yang dilaporkan Abu Daud, Saya mendengar Rasulullah
berkata: Carilah lailatulqadar itu pada malam 27 Ramadan.
Namun, dalil paling kuat mengenai
lailatulqadar ialah hadis daripada Aisyah yang dilaporkan Imam Bukhari, Carilah
sedaya upaya kamu lailatulqadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir
Ramadan.
Perbezaan pendapat sahabat dan
ulama ini sebenarnya adalah kenyataan tidak ada satu dalil jelas menunjukkan
bila malam itu berlaku tetapi sepakat dengan hadis daripada Aisyah, ia berlaku
pada malam ganjil akhir Ramadan.
Sumber: Buku Adab Ramadan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan