Oleh : Dr Sidek Baba
Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 menyatakan Ramadan
adalah bulan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan batil.
Ia memberi maksud yang sungguh hebat untuk difahami dan dimengerti.
Tentu ada hikmah yang besar Allah SWT menurunkan wahyunya
pada bulan Ramadan. Al-Quran terkandung petunjuk, pernyataan mengenai hal
akidah, ibadah, syariah dan akhlak sebagai sesuatu yang amat utama. Al-Quran
juga terkandung prinsip, kisah, pedoman dan peringatan supaya ia menjadi sumber
rujuk untuk mendapatkan bimbingan dari Allah.
Bimbingan ini amat perlu bagi manusia lantaran dengan
kekuatan akal manusia ia sangat terbatas. Keterbatasan akal manusia mengetahui
atau memahami sesuatu menyebabkan penerimaan makna tidak berlaku.
Al-Quran sebagai hudan linnas
Al-Quran dihubungkan sebagai hudan linnas petunjuk untuk
manusia dan hudan lil muttaqeen, petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Begitulah
hebatnya al-Quran tidak saja kebaikan ajarannya adalah untuk semua manusia
tetapi secara khusus adalah untuk orang yang muttaqeen.
Sebab itu, Islam dihubungkan sebagai rahmah alamiah kerana
prinsip dan ajarannya memberi kebaikan kepada umat manusia. Al-Quran memberi
keutamaan kepada kepentingan ilmu yang benar dan ilmu yang bermanfaat umpamanya
adalah baik untuk manusia dan baik juga untuk orang yang bertaqwa.
Al-Quran menganjurkan orang yang bertaqwa supaya mendukung
yang makruf dan menghindarkan kemungkaran. Apabila yang bertaqwa memiliki jiwa
tulus dan telus, amanah dan adil ia baik untuk semua manusia. Inilah kekurangan
manusia pada hari ini mementingkan diri sendiri, tamak dan bakhil,
berpura-pura, oportunis, menzalimi diri dan orang lain dan tidak telus dalam
melakukan sesuatu.
Petunjuk yang datangnya dari al-Quran, tidak sekadar
maklumat dan ilmu, prinsip dan pedoman, ia adalah hidayah dan barakah Allah
terhadap hamba-Nya yang terpilih. Hudan atau petunjuk bukan sekadar memberi
pedoman sesuatu yang zahir tetapi juga batini menghubungkan sesuatu dengan
Allah supaya hikmah memahami sesuatu sentiasa dalam reda-Nya.
Sekiranya manusia bertahan dengan kekuatan akalnya saja, ia
tidak boleh menjawab persoalan ghaibiyyat yang ada pada agama. Al-Quran sebagai
wahyu Allah membolehkan manusia melalui proses tadabbur tidak saja mampu
berbicara mengenai yang nyata dan dapat menghubungkannya dengan yang ghaib
iaitu Allah.
Membangun budaya Iqra
Surah yang awal diturunkan dalam bulan Ramadan terhubung
dengan budaya iqra atau baca yang memberi makna
penerokaan terhadap ilmu. Membangun budaya iqra
bermaksud bagi manusia dengan potensi akliahnya membangun kekuatan berfikir
sekali gus dengan potensi rohaniahnya membangun kekuatan iman dan ihsan
terhadap Pencipta.
Ilmu adalah suluh bagi manusia. Ia tidak saja memperjelaskan
proses ingin tahu manusia terhadap sesuatu tetapi ia juga memberi kefahaman
terhadap sesuatu itu dan natijah akhirnya menerima makna akan sesuatu itu.
Al-Quran memberi fokus kepada rijal sebagai aspek pembangunan yang paling utama
bukan teknologi dan kebendaan. Rijal penting dibangunkan budaya iqra ini supaya ia memiliki kualiti ihsan dan insan agar
pengurusan dan pembangunan terhadap sesuatu berlaku dalam kerangka amanah dan
kesejahteraan untuk manusia.
Sebab itu, iqra dalam konteks al-Quran bukan sekadar harfiah
sifatnya untuk maksud pahala semata-mata apabila dibaca, tetapi kandungan
tekstual (kitab) itu perlu terhubung secara kontekstual (realiti) supaya
pemahaman terhadap realiti hidup, sejarah dan budaya menyebabkan kehidupan
manusia terbimbing dan terpedoman.
Al-Quran antara tekstual dan kontekstual
Al-Quran terkandung hikmah yang membimbing manusia terhadap
kebijaksanaan. Pembangunan rijal dan sistem tidak saja dirujuk kepada nas,
berlaku khulasah dan tafsir tetapi ia diolah dalam kerangka syariah dan fekah
supaya sistem dapat diaturkan terus berada dalam acuan syariat.
Ia mampu menjana ilmu dan pemikiran, pendekatan dan
strategi, masalahah dan yang aula atau lebih utama supaya umat Islam mampu
merancang dengan bijaksana, tidak gopoh terhadap situasi, memiliki daya tawakal
yang tinggi, bersyukur dengan apa yang diterima, berusaha untuk terus maju dan
memiliki daya kompetensi tinggi dan akhirnya menemui al-falah atau kemenangan
secara istiqamah dan bijaksana.
Al-Quran mencela kelompok mustakjilun atau gopoh dengan
retorik yang mengapi-apikan emosi dan kehendak atau kelompok pelampau yang
tidak memahami waqi atau realiti lebih-lebih lagi
kelompok yang cetek dan tumpul pembacaannya terhadap senario yang ada dan
akhirnya terjebak dalam kemelut inginkan perubahan tetapi tidak memiliki daya
untuk mengisi perubahan itu sendiri.
Oleh itu, amat penting dilakukan perimbangan yang bijak
supaya yang dikejar itu dapat dan yang dikendung itu tidak berciciran. Emosi
dan kehendak yang tidak terkawal dan kegopohan melaksanakan hasrat dan
cita-cita sering menimbulkan fitnah dan sengketa sesama umat.
Al-Quran merintis pembangunan Tamadun
Bayangkan Ramadan yang dilalui sebagai sekolah rohhiyyah
yang melatih daya kawal diri insan dan disiplin rohaniah yang tinggi, keupayaan
mengawal lidah dan nafsu, menjadikan amal - buat contoh teladan yang menjadi
sumber ikutan , para abid yang terpancar jiwa ihsan yang tinggi adalah gambaran
warga muttaqeen yang mampu mencetuskan zaman dan keadaan ke arah perubahan.
Justeru Ramadan yang dilalui, binaan rohaniah yang dialami
dan mengembalikan insan kepada acuan fitrah yang tinggi membolehkan adab dan
peradaban lahir. Dunia dan kehidupan hari ini amat memerlukan warga umat yang
tidak saja berilmu tetapi amat peka dengan kualiti kemanusiaan tinggi dan
akhlak mulia supaya sistem dan negara dapat dibina berasaskan acuan yang
fitrah.
Bila Rasulullah SAW mengungkapkan , Addabani rabbi faahsana
taa,dibi - Yang Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik ia
menggambarkan betapa pentingnya adab diri diperkasa bersumberkan kekuatan hati
yang kental dengan rohaniah yang mantap.
Adab yang membawa kepada disiplin diri (ketangkasan
berfikir) dan disiplin hati (keupayaan rohaniah yang tinggi) dan disiplin amal
(kehebatan amal sebagai contoh ikutan) bakal mencetuskan kehebatan sistem yang
tidak saja menawarkan kesejahteraan kepada manusia tetapi kekentalan hubungan
dengan Khaliq sebagai Pencipta dan sumber ke atas segala.
Seperti juga lahirnya tamadun Islam yang bertahan berabad-abad
berakibat eratnya hubungan ulama dan umara
seperti berlaku di zaman al-Makmun, al-Mansor, Harun Ar Rashid dan Omar Ab.Aziz
yang dicatat oleh zaman sebagai penyumbang tamadun unggul yang seharusnya
menjadi sumber reflektif yang tinggi terhadap warga umat yang terkemudian.
Ilmu di zaman itu amat integratif iaitu kesepaduan antara
ilmu al-Quran dan akal yang melahirkan warga pendukung tamadun seperti Ibn
Suyuti, Ibn Sina, al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Imam al Ghazali , Abu Qasim Az
Zahrawi dan lain-lain dan menghasilkan peta zaman yang terukir dengan ilmu-ilmu
diniah yang tinggi dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.
Lahirnya tradisi kecendekiawan dalam bentuk karya dan
penyelidikan hingga menghasilkan kitab besar seperti Qanun ibn Sina, Ihya
Ulumuddin Imam al Ghazali, al Muqaddimah Ibn Khaldun dan banyak lagi yang
memberikan rintisan kajian dan keilmuan dan tersohor sepanjang zaman.
Sikap terbuka di kalangan ilmuan Islam mengambil faedah
berbanding dari budaya dan tamadun lain yang bermanfaat dan dengan daya saring
yang tinggi dan diletakkan tasawwur ilmu itu dalam acuan yang Islami. Ilmuan
seperti al Biruni menjelajah ke India memanfaatkan ilmu berbanding dalam
disiplin matematik, sains, astronomi menggunakan kekuatan bahasa Hind yang
dipelajarinya dengan baik. Itulah lambang kehebatan silam yang sepatutnya
menjadi sumber teladan pada masa kini.
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan