Selasa, 8 Februari 2011

PETUA KHUSYUK DALAM SOLAT

KHUSYUK ( ‎خشوع‎ ) : dari segi pemahaman adalah tetap melekat hatinya hanya kepada ‎perkara yang ‎dilakukan di hadapannya. Sebagai contoh, seseorang yang khusyuk ketika ‎membaca ‎akhbar atau majalah tidak akan mendengar panggilan dari sabahatnya jika dari arah belakang sehinggalah beberapa kali panggilan.‎

Sifat khusyuk paling penting terutama dalam ibadah-ibadah seperti solat, tawaf, sai’e, zikir, baca al-‎‎Qur’an, berdoa dan sebagainya.‎ Ibadah tanpa khusyuk tidak akan diterima Allah s.w.t. Membaca akhbar tanpa khusyuk tidak akan difahami apa yang dibaca, apatah lagi untuk mengigati faktanya.

"Akhir zaman khusyuk ‎‎akan lenyap dari hati-hati manusia"
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Justeru khusyuk di dalam solat adalah penting. ‎‎Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam ‎‎setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk ‎‎akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut ‎‎Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata, “Tidak berapa lama lagi akan ‎‎sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki ‎‎yang khusyuk.” ‎

Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki ‎‎menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ‎‎ini akan tenanglah anggota badannya.” ‎

Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di ‎‎samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn ‎Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” ‎

Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Sebagaimana diceritakan tentang kekhusyukan hati saidina Ali dalam solatnya, apabila anak panah berjaya dicabut dari belakangnya ketika dia solat.‎

Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ‎‎ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” ‎

Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu ‎‎Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan ‎‎dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan ‎‎tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua pendapat ini ‎‎disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.‎

Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman ‎‎berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya ‎‎yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”‎

CARA UNTUK KHUSYUK

Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk menjadi sesuatu ibadah itu ‎‎dilakukan dengan khusyuk maka penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa ‎‎mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah ‎‎hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam ‎‎Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, ‎‎harap dan malu.” ‎

Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain ‎‎daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di ‎‎dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah ‎‎hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, ‎‎mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi ‎‎manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana ‎‎pastinya terdapat kekurangan padanya.‎

Untuk membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. ‎‎Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih ‎‎dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang ‎‎bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, ‎‎mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah ‎‎kiasannya dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.‎

Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-‎‎Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada ‎‎pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ‎‎ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. ‎

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang ‎‎dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai ‎‎celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram ‎‎hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan ‎‎dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya ‎‎keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… ‎

Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus ‎‎bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan ‎‎condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. ‎‎Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. ‎

Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan ‎‎seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat ‎‎dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. ‎‎Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”‎

Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ‎‎ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.‎


PETUA KHUSYUK DALAM SOLAT

Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-

Yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. Firman-Nya lagi:-

Ertinya: "Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi:-

Yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wudhuk yang sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Sumber :http://ensiklopediamuslim.blogspot.com/

Sabtu, 5 Februari 2011

Toleransi menurut Islam

Pujian ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat dan rahmatnya, kita masih mengecapi keharmonian hidup dengan rukun dan damai di bumi bertuah ini. Biarpun kita hidup bersama-sama dengan kepelbagaian etnik, bangsa dan agama, namun sikap bertolak ansur dan saling menghormati yang dijiwai sejak sekian lama menyebabkan keamanan masih dapat dikekalkan hingga ke saat ini. Inilah kehebatan bangsa Melayu yang disaluti Islam dan iman, menjadikan agama itu sebagai teras dalam kehidupan bermasyarakat. Nenek moyang kita dahulu menerima Islam dan menghayatinya sedaya mampu mereka, dan dengan itu juga mereka mendidik anak cucu agar bersikap sedemikian terhadap orang lain biarpun dari bangsa dan agama yang berlainan. Betapa indahnya saranan Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 7-8 yang bermaksud " Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu ( dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam ). Dan ( ingatlah ), Allah Maha Kuasa ( atas tiap-tiap sesuatu ), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama ( kamu ), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Teringat saya apa yang dinukilkan oleh Dr. Hamka di dalam tafsir al-Azhar bahawa Allah SWT menanamkan keyakinan terhadap orang beriman, bahawa suatu ketika nanti orang musyrik yang sangat kuat permusuhannya dengan Nabi SAW akan reda kemarahan mereka. Dalam perjuangan yang sangat hebat dalam menegakkan akidah hingga terpaksa menongkah arus perdana, Baginda SAW tidak pernah mencerca peribadi seseorang dengan sesuka hati biar pun mereka tidak beriman. Dr. Hamka seterusnya memberikan satu contoh bagaimana kisah Nabi SAW mengahwini Ummi Habibah Binti Abu Sufiyan. Abu Sufyan yang ketika itu belum memeluk Islam merupakan salah seorang pembesar Quraisy yang sangat kuat penentangannya terhadap Islam. Namun, anaknya Ummu Habibah telah memeluk Islam dan berhijrah ke Habsyah bersama suaminya Abdullah bin Jahsy. Ketika suaminya telah murtad, Ummu Habibah tetap dengan mempertahan keimanannya. Maka, ketika mendengar kisah sedih Ummu Habibah berseorangan di Habsyah, Baginda SAW menghantar wakil untuk meminang Ummi Habibah dan mewakilkan kepada Najasyi yang sudah memeluk Islam untuk menikahinya dengan mas kahwin 400 dinar. Ketika berita ini sampai kepada Abu Sufyan, beliau merasa bangga kerana manusia semulia Nabi SAW telah mengahwini anaknya. Kebanggaan nya bertambah lagi apabila yang mewakili Nabi SAW itu ialah Najasyi Raja Habsyah yang terkenal dengan keadilannya itu.

Al Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa asbabul nuzul ayat 8 surah al-Mumtahanah ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah Ibn Zubair dari bapanya, ketika Qutailah iaitu bekas isteri Abu Bakar al-Siddiq r.a yang merupakan ibu kepada Asma' binti Abu Bakar datang menziarahi anak perempuannya. Seperti mana diketahui bahawa Qutailah tidak memeluk Islam, namun ketika di Mekah beliau tidak pun sekali-sekali menghalau atau menyakiti umat Islam. Beliau datang ke Madinah untuk menemui anak perempuan kesayangannya bersama dengan hadiah-hadiah. Namun Asma' merasa ragu untuk menerimanya. Maka turunlah ayat ini.

Al-Imam Syed Qutb rahimahullah ketika menafsirkan ayat-ayat di atas menyatakan bahawa, Islam adalah satu sistem yang bertujuan untuk menaungi seluruh alam, di samping untuk menjadikannya sebagai suatu cara hidup. Islam secara harmoninya berusaha mengembang dan melebarkan ajarannya menerusi dakwah. Buktinya, tiada sesiapa pun yang dipaksa untuk menganuti Islam. Perkembangannya secara harmonis ini tidak akan berubah melainkan ada manusia yang berniat menghalangnya. Namun jika tiada, Islam tidak sekali-kali berniat untuk memusuhi sesiapa pun atas nama agama, bangsa mahupun negara.

Seterusnya Al Imam Syed Qutb menyatakan bahawa Allah SWT juga tidak menghalangi orang-orang Islam dari berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam serta berlaku adil dalam berhubungan dengan mereka atau bersikap tidak mengurangkan hak-hak mereka sedikit pun. Keadaan ini tidak boleh dicabuli kecuali dengan adanya pencabulan perang yang perlu ditentang atau timbul kebimbangan berlakunya ancaman khianat yang menghalang kedaulatan Islam.

Toleransi ( tasamuh ) dalam Islam

Perbahasan Islam dan toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia adalah merupakan satu perkara yang sepatutnya dikumandangkan serta mendapat tempat dalam perbahasan ilmiah mahupun wacana pemikiran hari ini. Penerangan dan perbincangan ini biarlah berterusan walaupun negara kita sudah mengecapi kemerdekaan sejak 53 tahun yang lalu. Lamanya tempoh kita dimerdekakan sama sekali tidak menjamin sikap bertolak ansur sudah sebati dalam jiwa anak bangsa kita melainkan para pemimpin, ulama', dan segenap lapisan berusaha memupuk sikap dan semangat ini. Pihak kerajaan misalnya boleh berperanan menerusi Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian menonjolkan sikap baik ini menerusi pelbagai medium sama ada media cetak atau elektronik. Pihak-pihak boleh berusaha menyiarkan produk-produk perniagaan yang hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja. Persoalannya mengapa mereka tidak boleh mengiklankan produk Islam ini yang bukan hanya menguntungkan komuniti yang kecil malahan boleh menguntungkan rakyat dan negara. Apatah lagi Islam telah mendapat tempat serta diiktiraf sebagai agama persekutuan di dalam perlembagaan. Peruntukkan ini tidak sepatutnya dibiarkan beku dan kaku begitu saja tanpa usaha untuk mendaulat dan merealisasikannya. Ditambah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, bahasa dan budaya. Salah faham tentang toleransi dan budaya pelbagai bangsa dalam masyarakat berbilang agama, bahasa dan budaya boleh menjejaskan peranan Islam sebagai agama pembina tamadun atau khaira ummah.

Toleransi disebut sebagai tasamuh di dalam perbendaharaan ilmu Islam. Kata tasamuh berasal dari 'samaha' yang membawa maksud murah hati, menderma, lemah lembut dan pemaaf. Ini memberikan satu gambaran bahawa sikap tasamuh atau toleransi itu berasaskan lemah-lembut, bertolak-ansur dan berlapang dada bukannya kekerasan, cemuhan dan cercaan. Dr. Muzammil Siddiqi, President, Fiqh Council of North America, menyatakan tasamuh adalah tanggungjawab asas dalam mengamalkan prinsip Islam. Namun, menariknya ia bukan bermaksud longgarnya pegangan Islam hingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Islam. Malah, kadang-kadang wujud dakwaan bahawa manusia yang tasamuh ini disebut manusia yang yang tidak peduli dengan pegangan hidupnya. Tasamuh dalam Islam bukanlah juga kita percaya bahawa semua agama itu sama saja dari sudut kebenarannya. Apatah lagi menganggap Islam itu sama taraf dengan agama-agama lain. Ia juga tidak bermakna kita tidak perlu menjalankan tugasan dakwah mengajak kepada Islam malah jauh dari itu tidak mengharapkan orang lain akan memeluk agama Islam. Oleh kerana itulah, Imam Syed Qutb menyatakan tiada persoalan yang harus menimbulkan pertikaian dan peperangan terhadap orang bukan Islam kecuali wujudnya penentangan mereka atas dasar persoalan akidah, dakwah, perlaksanaan dan usaha meninggikan agama Allah di muka bumi ini.

Kita sekarang sebenarnya menghadapi sedikit salah faham yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang barangkali punyai motif tertentu. Biar pun telah berjaya diselesaikan namun berkemungkinan besar akan berputik kembali sekiranya penerangan yang jelas tentang konsep tasamuh ini tidak giat disebarkan kepada masyarakat termasuk bukan Islam. Masyarakat bukan Islam mestilah disedarkan bahawa agama Islam ini bukanlah agama yang keras serta tidak memberi hak dan keadilan kepada mereka. Isu azan contohnya, adalah tidak wajar mempersalahkan pengkritik semata-mata sedangkan dalam masa yang sama timbul persoalan apakah kita sudah menerangkan konsep toleransi beragama dan keadilan Islam itu sendiri kepada mereka. Mungkin mereka tidak memahami sepenuhnya tentang Islam, akan tetapi kita sebagai orang Islam sudahkah kita bergerak bersama menerangkan Islam itu kepada mereka. Realitinya, bila sebut sahaja Islam maka masyarakat menyatakan bahawa itu hanya beban yang patut digalas oleh para Mufti, ustaz dan tok lebai.

Masyarakat Cina di tanah air kita dengan jayanya telah meraikan sambutan Tahun Baru baru-baru ini yang telah berlangsung sejak sekian lama setiap tahun. Mana mungkin sambutan ini dapat diraikan jika masyarakat Islam yang dominan dalam negara ini tidak mengamalkan sikap toleransi terhadap mereka. Bukan sahaja mereka telah diberi ruang untuk menyambutnya, malah sebahagian orang Islam pun turut sama mengambil bahagian dalam sambutan ini. Terdapat juga perayaan yang bersifat keagamaan bagi agama lain pun turut diraikan oleh orang Islam seolah-olah mereka tidak dapat membezakan antara sambutan itu sama ada bersifat kebudayaan atau keagamaan. Berwaspadalah agar jangan terlalu bersemangat mengamalkan toleransi dan perpaduan kaum sehingga menjejaskan akidah kita sebagai seorang Islam.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 31 Januari 2011

Berhati-hati pilih jersi pasukan bola

Contoh-contoh lambang pasukan bola sepak yang terang-terang ada lambang salib.


Oleh Muhammad Asyraf

Islam beri panduan berpakaian termasuk larangan guna lambang agama lain


RAMAI meminati pasukan bola sepak tertentu dan sokongan dizahirkan dengan memiliki jersi pasukan berkenaan. Namun, disebabkan terlalu minat dan ingin dilihat sebagai sebahagian daripada pasukan terkenal itu, ada antara kita terlepas pandang beberapa aspek yang perlu dipelihara.

Ini termasuk soal pemilihan pakaian menurut Islam hingga jersi yang mempunyai simbol keagamaan seperti lambang salib kita pakai ke sana sini sehingga membawa ke tikar solat.

Menurut Ibn Abbas seperti dinukilkan daripada Tafsir Ibn Kathir, orang pertama memperkenalkan seksaan ke atas manusia dengan kaedah menyalib ialah Firaun. Sehingga pada zaman Nabi Isa, ia dipercayai oleh orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi Isa disalib.

Rentetan peristiwa itu, maka salib dijadikan lambang keagamaan bagi Nasrani. Disebabkan itu juga, antara tugas yang akan dilaksanakan dengan kebangkitan Isa al-Masih pada akhir zaman ialah menghancurkan salib.

Sahih Bukhari dalam bab kisah para nabi, Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Rabb yang jiwaku ini di tangan-Nya, sungguh sudah dekat saat turunnya (Isa) anak Maryam kepada kalian sebagai hakim yang adil. Dia akan menghancurkan salib, membunuh khinzir, menghapus jizyah dan akan melimpah ruah harta benda (disebabkan keadilannya) sehingga tidak seorang pun mahu menerimanya dan sehingga satu kali sujud lebih baik baginya daripada dunia dan seisinya.”

Islam menggariskan beberapa panduan berpakaian dan ada lapan syarat digariskan ulama berdasarkan penelitian mereka berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah untuk dipatuhi iaitu menutup aurat serta tidak jarang sehingga menampakkan kulit tubuh (khususnya bahagian aurat).
Pakaian juga tidak sendat sehingga menampakkan bentuk aurat, tidak menyerupai pakaian perempuan bagi lelaki dan sebaliknya bagi perempuan, tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan, bukan diperbuat daripada material diharamkan dan tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasik.

Imam Bukhari dalam bab al-Libas (pakaian) memasukkan hadis Nabi SAW daripada Aisyah katanya: “Rasulullah tidak pernah membiarkan sesuatu yang bersalib dalam rumahnya melainkan beliau menghancurkannya.”

Memakai jersi yang mempunyai lambang salib atau lambang agama lain adalah satu penyerupaan dalam menzahirkan pakaian orang kafir. Ia dilarang keras dalam Islam berdasarkan kisah disampaikan Ali.

Katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kamu daripada memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukan daripadaku.” (Riwayat Imam ar-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat)

Memakai jersi tidak menyerupai pakaian orang kafir secara khusus, namun kewujudan lambang salib pada jersi itu yang menimbulkan penyerupaan kerana salib sudah sedia dikenali sebagai lambang agama Kristian.

Seorang Muslim amat membenci kekufuran, dosa dan maksiat. Justeru, ia tidak akan reda sebarang lambang kufur atau pelaku dosa dan kaki maksiat untuk berada pada badannya atau dilihat pada pakaiannya.

Ini jelas kerana kita diminta membenci sebarang bentuk kekufuran dan kemaksiatan. Antara doa diajar Nabi SAW ialah: “Ya Allah, jadikanlah kami kasih kepada iman, hiasilah iman itu dalam hati kami, tanamkanlah dalam diri kami kebencian kepada kekufuran, kefasikan dan maksiat. Jadikanlah kami di kalangan orang yang mendapat petunjuk.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari ‘Abid bin Fifa’ah az-Zarqi)

Perbuatan meredai kekufuran adalah dilarang, apatah lagi kita mempromosikannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jangan tolong-menolong dalam perkara dosa dan pelanggaran.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Begitu juga Imam al-San’ani dalam kitabnya Subul al-Salam memasukkan hadis diriwayatkan Abu Ya’la daripada hadis Ibnu Mas’ud katanya: “Siapa yang reda dengan perbuatan suatu kaum, maka orang itu termasuk di kalangan mereka.”

Bahkan ada sebahagian ulama menyatakan larangan lebih keras kerana perbuatan itu melambangkan ada sembahan setanding dengan Allah seperti dinyatakan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis riwayat Bukhari berkenaan pemakaian baju mempunyai lambang salib ketika solat.

Kesimpulannya, setiap Muslim perlu menanggalkan pakaian itu malah, tidak dibolehkan baginya mengambil salib baik untuk digantungkan atau tidak digantungkan, dipasang atau tidak dipasang. Juga tidak boleh baginya menampakkan syiar itu di jalan kaum muslimin, tempat umum atau khusus dan tidak menampalkan di bajunya.

Diriwayatkan daripada ‘Adi bin Hatim, aku mendatangi Nabi SAW sementara di leherku ada salib daripada emas. Maka Baginda bersabda: “Buanglah berhala itu daripadamu.” (Al Mausu’ah al Fiqhiyah)

Ada yang akan mengatakan, setiap perbuatan itu berdasarkan niat masing-masing atau kami hanya mengenakan jersi pasukan kegemaran kerana terlalu meminati pasukan itu dan bukan untuk bermegah dengan lambang salib.

Namun, niat tidak menghalalkan perbuatan yang jelas zahirnya menyimpang daripada ketetapan agama. Apatah lagi membabitkan persoalan akidah kerana tidak semestinya tidak memakai pakaian mempunyai lambang salib menghalang anda daripada meminati pasukan itu.

Bukankah cintakan Allah itu melebihi cinta kita kepada yang selain-Nya. Atau, atas alasan ‘minat’ dan ‘sokong’ maka kita meleraikan janji setia cinta kita kepada Sang Pencipta.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 25 Januari 2011

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram

BERTINDIK anggota badan selain telinga haram kerana perbuatan itu meniru orang kafir dan memudaratkan kesihatan.

Remaja bertindik selain anggota telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim


HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan remaja masa kini.

Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita.
Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Selain bertindik, remaja kini juga gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.

Bahkan ada yang berbangga memiliki tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa imej seorang Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Ini pandangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari. Pandangan ini juga dinukilkan dari ulama semasa iaitu Dr Muzzamil dan bekas Mufti Kerajaan Saudi, Syeikh Abd Aziz bin Baz dalam fatwa beliau.

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Tidak kira zaman mana pun kita, etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 22 Januari 2011

Akhlak Islam : Mencontohi tabiat, cara makan Rasulullah

Pemakanan Seimbang

Oleh Mohd Amri Abdullah

Diet seimbang, amalan pemakanan sihat pelihara Muslim daripada serangan penyakit

KESEMPURNAAN Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda.

Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang."

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan gaya hidup mewah masa kini (makan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam) menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, diabetes dan kanser.

Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat menyarankan, semua kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal sederhana pada kebanyakan hari atau sebaik-baiknya setiap hari dalam seminggu.

Daripada Aisyah, “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalela syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari ).

Selain menjaga kebersihan, Rasulullah SAW makan makanan seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana dan berkongsi makanan. Rasulullah SAW suka makan susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi.

Susu adalah makanan lengkap, kaya dengan protien, kalsium, vitamin A dan B, zat protien berkualiti tinggi penting untuk membina dan membaiki tisu badan serta membentuk antibodi melawan jangkitan penyakit.

Zat kalsium dalam susu mudah diserap oleh badan, penting untuk elak ‘osteoporosis’. Susu juga mengandungi zat fosforus, magnesium, potassium, Vitamin B2 (riboflavin) dan Vitamin D. Susu lembu mempunyai 87 peratus air dan 13 peratus pepejal.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl, ayat 66)

Buah kurma (serasi dengan tubuh badan manusia), anggur, zaitun, delima mengandungi serat semula jadi yang tinggi (penting untuk mengelak sembelit), Vitamin A (penting untuk mata/penglihatan), gula, berbagai vitamin dan mineral serta air penting bagi kesihatan badan.

Siti Maryam menggoncangkan pohon kurma selepas melahirkan anaknya Nabi Isa untuk dijadikan ubat berkhasiat dan memulihkan tenaga.

Firman Allah bermaksud: “Dan goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arah mu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenanglah kamu.” (Surah Maryam, ayat 25)

Daging juga menjadi sumber zat protien yang utama untuk tumbesaran manusia, membekal lemak, vitamin dan mineral (zat besi dan zink). Lantaran itu Rasulullah SAW menggemari makanan rendah lemak dan kolesterol.

Sementara, madu kaya dengan gula, sedikit air, vitamin dan mineral penting untuk kesihatan. Selepas subuh, Rasulullah SAW memulakan sarapannya dengan segelas air dicampur sesenduk madu asli. Di tinjau dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan peradangan.

Masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.

Rasulullah SAW tidak makan dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan dan daging dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.

Jika terlalu banyak makan daging akan memberi kesan kepada sendi dan ginjal. Saidina Umar memperingatkan: “Jangan kau jadikan perutmu sebagai kuburan bagi haiwan ternak.”

Rasulullah SAW melarang (makruh) meniup atau menghembus nafas ke dalam bekas air kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar kealkalian (pH) air itu.

Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit berpunca daripada gula.

Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.

Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.

Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan yang lengkap untuk diteladani. Namun, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta makanan tambahan.

Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Hukama’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.”

Penulis ialah Penolong Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 22 Disember 2010

Ibu bapa perlu didik anak hormati, bantu jiran

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Generasi muda mesti diasuh supaya faham hak tetangga dalam hidup bermasyarakat

KEHARMONIAN hidup berjiran adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun tembok konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh dengan adanya sifat mengambil berat dan menghormat.i

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Pepatah Melayu juga ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk pentingnya hidup bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran.

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan anak kecil kerana pada usia itu mereka mudah menyerap sebarang pendidikan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, ibarat melentur buluh daripada rebungnya.

Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul pula dijadikan panduan semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.

Anak juga perlu tahu jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaan tersendiri. Menurut hadis Rasulullah SAW, kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, memiliki tiga hak iaitu hak jiran, Islam dan kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil, jika anak-anak faham kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini mereka akan dapat memupuk nilai murni hidup bermasyarakat seperti disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh ibu bapa terapkan kepada anak erti kemanisan hidup berjiran antaranya menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga.

Ia selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperilaku baik terhadap jiran tetangganya.” ( Hadis Mutafaqun ’alaih)

Menegah anak berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan cepat mempercayai atau menyebarkan berita buruk berkaitan jiran demi menjaga maruah mereka.

Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami sejelasnya oleh anak kerana ada masa tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

Mendidik anak menjadi ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan pertolongan. Menegah anak mengganggu dan merosakkan dan hak jiran seperti membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis bertadarus dan bertahlil, kenduri serta gotong-royong. Dengan cara ini barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling rapat untuk meminta bantuan serta berkongsi suka dan duka kehidupan.

Jika berlaku sebarang masalah ataupun percanggahan pendapat, anak perlu dilatih melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh dalam kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak perlu juga menyuburkan sifat bertolak-ansur dan mudah memaafkan apa juga kesalahan pihak lain terhadap mereka.

Apa yang lebih penting, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak turut mengikut tindak tanduk negatif kita.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com

Ahad, 12 Disember 2010

Hayati semangat hijrah

Oleh : Sahibus Samahah Ustaz Harussani Zakaria

Bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat serta diberi kesempatan kepada kita menikmati kehidupan dengan aman dan harmoni di tanahair tercinta ini.

Segala keamanan dan keharmonian yang saya dan seluruh rakyat Malaysia nikmati hari ini adalah hasil dari pengorbanan para pemimpin, para ulama' dan generasi terdahulu yang bertungkus lumus mengembeling tenaga dan idea bagi memastikan survival umat berlarutan dan kedaulatan anak bangsa sentiasa teguh dan utuh. Hebatnya anak bangsa kita sejak dari dahulu, sekarang dan di masa akan datang dengan izin Allah SWT bila mana pegangan terhadap Islam tidak terpisah sepertimana terpisahnya padi dari sekamnya. Islam yang kita anuti hingga ke hari ini adalah anugerah yang tidak ternilai disamping keberuntungan kita kerana nenek moyang kita diberi hidayah menganuti agama yang suci ini. Penerimaan mereka terhadap agama Islam terbukti sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka apabila rata-rata raja dan rakyatnya memeluk dan mengamalkan Islam.Perkembangan Islam juga disifatkan bermula hasil dari kegigihan para pedagang dari timur tengah "berhijrah" mengembangkan dakwah merentasi lautan dan benua demi menjamin seisi alam menerima seruan Islam.Alangkah bertuahnya kita sekiranya dinilai dari sudut pengorbanan jika dibandingkan dengan umat sebelumnya. Kita boleh menyambut sambutan ma'al hijrah dengan keamanan dan kedamaian di setiap negeri tanpa perlu menitiskan walau setitis darah demi menjayakan program tersebut.Kita juga tidak perlu untuk "berhijrah" mencari kekuatan dan kedamaian dari sebarang gangguan terutamanya musuh-musuh Islam.

Seringkali apabila kedatangan tahun baru hijrah, terlintas di benak dan fikiran saya akan firman Allah SWT di dalam surah Al-Taubah ayat 20 yang bermaksud "(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWTdengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT(daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".Inilah sumber inspirasi untuk saya terus menggerakkan usaha dakwah biarpun cacian dan herdikan yang terpaksa saya terima saban waktu.

Bila ditelusuri peristiwa dan impak penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah, maka ia diperakui oleh para cendekiawan Islam sebagai peristiwa yang cukup besar erti dan maknanya dalam sejarah Islam.Perkara ini telah pun disepakati di dalam muktamar para sahabat yang mulia, dipengerusikan oleh Saidina Umar al-Faruq.Al Imam Ibnu Kathir di dalam Sirah al-Nabawiyyah merakamkannya ketika para sahabat radiallahu alaihim bertemu bagi membincangkan asas tahun dalam taqwim Islam, ada dikalangan para sahabat mencadangkan asas tahun Islam bermula dari tahun kelahiran Baginda. Ada juga mencadangkan tarikh bi'thah(kebangkitan) kerasulan Baginda, malah ada juga sahabat mencadangkan tarikh kewafatan Baginda dijadikan asas tahun Islam. Namun akhirnya, Allah SWT menetapkan pada pendirian Saidina Umar r.a dan disepakati oleh para sahabat, " Kita tetapkan tarikh taqwim Islam ini, pada tahun Hijrah Baginda SAW!".

Signifikan

Mengapa tahun hijrah ini yang dijadikan asas taqwim Islam? Apakah signifikan dan besarnya peristiwa hijrah? Dalam hal ini, teringat saya ungkapan seorang pemikir Islam yang terkenal iaitu Syed Abul Hassan al-Nadwi yang menyatakan bahawa, "Apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan, begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW serta turunnya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh Tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama."

Memang benar, hijrah adalah puncak pengorbanan Rasul SAW dan para sahabat. Kesedihan dan pengorbanan ketika meninggalkan kota Mekah yang dicintai bererti meninggalkan tanah tumpah darah, sanak saudara dan harta demi satu matlamat iaitu demi Islam. Kecintaan Baginda terhadap Mekah dan seisinya diketepikan atas arahan Allah SWT, hingga BagindaSAW menitiskan air matanya yang mulia, seraya berkata : "Sesungguhnya kamu adalah negeri yang paling saya cinta, jika penduduk kamu tidak mengusirku nescaya aku tidak akan keluar".

Namun,apa yang ada disebaliknya pengorbanan ini? Mengapa Baginda Nabi SAW sebagai kekasih Allah SWTdan para sahabat yang diiktiraf sebagai generasi terbaik ini dituntut oleh Allah SWT memberikan pengorbanan demi pengorbanan yang tak kunjung padam. Indahnya ungkapan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam Qissatul Risalah " Untuk mendapatkan kemuliaan darjah kenabian secara haq, untuk menaiki tangga kesempurnaan yang sebenar dan menjadikan Baginda pemimpin orang-orang yang diberi cubaan dengan kemampuan yang dimiliki serta menjadi imam bagi orang yang sabar tanpa dapat disaingi. Engkau, wahai para pendakwah, jika kamu dihadapkan dengan kata nista dan cacian, maka ketahuilah tauladan kamu Nabi Muhammad SAW telah dilontarkan kepadanya beratus kata yang menyakitkan dan melukakan hati, jiwa dan perasaan Baginda SAW. Seratus kata, malah seribu kata yang lebih dahsyat jika dibandingkan dengan libasan pedang dan lontaran anak panah. Ini semua untuk harga demi diri, kemuliaan dan kesuciannya.'

"Janganlah berdukacita, sesungguhnya Allah SWT bersama kita"

Inilah kata-kata keramat yang mengiringi perjalanan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar r.a sepertimana yang telah difirman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 40 yang bermaksud : "..Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah SWTbersama kita.."

Imam Ibn Kathir rahimahullah membawa sebuah hadis riwayat dari Imam Ahmad dari Anas bahawa Abu Bakar r.a berkata : 'Seandainya mereka melihat bekas tapak kaki kita, pasti mereka akan temui kita.' Tetapi dijawab oleh Baginda SAW" Wahai Abu Bakar, jangan kamu sangka kita hanya berdua, sesungguhnya Allah SWT adalah yang ketiga ( bersama-sama kita )". Inilah kata-kata yang mententeramkan hati saidina Abu Bakar r.a yang mendapat gelaran "Al-Siddiq" yang bermaksud, " membenarkan". Kepercayaan mutlak dan kefahamannya kepada ayat-ayat Allah SWT tiada taranya di kalangan para sahabat.Sememang beliau sangat layak digelar dengan gelaran tersebut.

Perjalanan

Sememangnya perjalanan hijrah itu adalah perjalanan suci yang bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT. Oleh kerana itulah, perjalanan Baginda di penuhi keyakinan kepada jaminan dan perlindungan Allah SWT. Bermula dari konspirasi jahat dan kepungan pahlawan-pahlawan Quraisy yang mahu membunuh Baginda, gerak kerja yang diilhamkan Allah SWT kepada si merpati yang hinggap membuat sarang di gua Tsur sehingga tersungkurnya Suraqah ibnu Malik yang berkeinginan membolot sejumlah kemewahan dan ganjaran. Semuanya itu adalah bukti perjalanan suci ini mendapat jaminandan lindungan dari Allah SWT.

Maka tanyakan pada diri kita, adakah perjalanan kita yang panjang di muka bumi ini bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah? Berapa kalikah di saat kita kesempitan dan kekurangan tiba-tiba datang pertolongan Allah SWT?.Berapa banyak musibah dan ujian Allah didatangkan kepada kita lantas kita memohon pertolongan Allah SWT? Berapa kalikah perpecahan Melayu Islam berlaku kita seru dan laungkan semula untuk bersatu atas nama Allah SWT? Demikianlah Hijrah datang untuk bertanya soalan demi soalan saban tahun untuk kita jawab.

Halangan dalam menghayati roh hijrah

Sebagai penerus kesinambungan perjuangan para rasul dan salafussoleh dalam merealisasikan roh dan semangat "hijrah", sudah pasti kita mengatur dan menyusun perancangan agar kerja-kerja agama ataupun seumpamanya seiring dengan semangat dan ruh hijrah. Namun, saya menyedari bahawa halangan terbesar adalah kegagalan kita menangani gangguan makhluk Allah SWT yang bernama iblis dan syaitan yang senantiasa menggagalkan usaha murni kita terhadap agama. Semangat yang berkobar-kobar untuk agama boleh tersekat dek kerana makhluk Allah SWT yang dilaknat ini. Apakah kita lupa firman Allah SWT dalam surah An Nisa' ayat 117 yang bermaksud "Yang dilaknati Allah SWT dan syaitan itu mengatakan saya benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk saya), dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka".

Hijrah secara realitinya sudah tidak berlaku, namun semangat dan ruhnya mesti dipertahankan oleh umat Islam keseluruhannya.Ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al Imam AlBukhari dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda pada saat hari Pembebasan Mekah "Tidak ada lagi hijrah, akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka bila kamu diperintahkan berangkat (berperang) maka berangkatlah". Ini bereti bahawa sebarang bentuk penghijrahan dari Mekah ke Madinah sudah tidak lagi diwajibkan, namun yang diwajibkan adalah roh dan semangat hijrah itu sahaja. Umat Melayu Islam di tanah air tercinta ini mesti berjihad mempertahankan Islam sepertimana yang tercatat dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan " Islam agama bagi Persekutuan, mana-mana agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan".Perkara ini telah menawarkan posisi yang cukup istimewa kepada Islam.

Sekalung ucapan terima kasih kepada para pemimpin terdahulu yang telah bertegas mengadakan peruntukan ini bagi menjamin kedudukan Islam tetap utuh di negara ini.Saya amat mengharapkan agar tidak wujud suara-suara sumbang dan gerak kerja songsang untuk menggugurkan perkara ini demi meraut keberuntungan sementara dan kegilaan mengumpul pengikut yang ramai. Berjihad mempertahankan Islam bererti bersungguh-sungguh mengangkat martabat bangsa dan agama kita di mata dunia, apatah lagi sikap, perwatakan dan gaya hidup yang berorientasikan Islam menghiasi tubuh dan hati anak bangsa.diberi kesempatan kepada kita

Sumber : http : //www.utusan.com.my/