Jumaat, 3 September 2010

Kualiti puasa jana individu bertakwa

Oleh : Abu Bakar Bin Yang

MASA begitu pantas berlalu, begitu juga dengan bulan Ramadan sudah pun hampir ke penghujungnya. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaan ini sudah pun hampir meninggalkan kita dengan meninggalkan pelbagai pertanyaan di manakah letaknya kedudukan puasa yang kita lalui, mantap atau lemah iman yang kita miliki.


Sejauh manakah keprihatinan kita terhadap masyarakat yang kita sayangi dan juga di tahap manakah tingkatan takwa kita ini? Sebenarnya puasa yang bersungguh-sungguh sehingga ke tahap khusus-ul-khusus seperti mana yang diungkapkan oleh Imam al-Ghazali akan melahirkan benih takwa dan kasih sayang kepada sesama manusia.

Intipati pendidikan Ilahi melalui ibadah puasa ini juga adalah untuk menanam dan mengukuhkan kesedaran yang sedalam-dalamnya akan kehadiran (omnipresence) Allah SWT dalam setiap saat kehidupan manusia. Kesedaran inilah yang melandasi ketakwaan yang mana ia turut membimbing seseorang ke arah tingkah laku yang baik dan terpuji. Maka menerusi ibadah puasa selama sebulan ini diharapkan akan terbina dan tampil seorang yang berbudi pekerti luhur dan berakhlak karimah serta menjadi seorang yang mantap takwanya sesuai dengan natijah puasa iaitu 'mudah-mudahan kamu bertakwa.'

Sehubungan dengan itu juga al-Quran menyatakan bahawa tiada jaminan mereka yang berpuasa pasti akan mencapai ketakwaan. Ia adalah sebuah harapan yang menagih kesungguhan agar segala syarat dan peraturannya dipenuhi. Maka dengan itu, perlumbaan adalah terbuka bagi sesiapa sahaja untuk mencapai takwa.

Jika dilihat dari segi sejarah dan tamadun Islam, kemunculan manusia yang bertakwa datang daripada pelbagai latar belakang. Bagi mereka yang sudah sekian lama terkurung dalam cara hidup jahiliyah yang mengongkong, tiba-tiba diberi peluang terbuka untuk sama-sama mencapai kemuliaan diri dengan kehadiran Islam, maka peluang ini diterima dan digarap dengan sebaik-baiknya.

Maka muncullah peribadi-peribadi unggul seperti Bilal ibn Rabah yang cuma seorang hamba, Ammar ibn Yasir dan Zaid ibn Harithah yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pembantu baginda. Malah nama Zaid ibn Harithah sendiri memang tercatat di dalam surah al-Azhab, suatu penghormatan yang tidak diperolehi oleh golongan bangsawan Mekah ketika itu.

Begitulah juga halnya ketika Islam tiba di alam Melayu sekitar abad ke-13, pandangan hidup Islam inilah yang memikat umat Melayu sebagai jalan melepaskan diri daripada kongkongan cara hidup yang menindas dan zalim kepada ruang lingkup kehidupan yang bebas dan aman di bawah naungan takwa.

Takwa adalah nilai Ilahiyyah yang melebihi pangkat dan darjat. Sehubungan dengan ini, al-Quran turut menyatakan bahawa tidak akan ada kemuliaan buat mereka yang telah dipandang sepi oleh Tuhannya, walaupun mereka begitu disanjung orang dan memiliki sejumlah gelaran duniawi yang tidak punya jaminan di akhirat. Ini adalah kerana mereka telah tertipu dengan nilai-nilai palsu duniawi dan meletakkan nafsu sebagai asas untuk melayari landasan kehidupan ini.

Maka dalam hal ini, puasa amat berperanan untuk membentuk insan yang mulia dengan melihat dunia ini sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat, dan bukannnya matlamat yang perlu dilayani segala keperluannya. Untuk itu, takwa adalah asasnya dan mereka yang berjaya adalah mereka yang benar dan sah takwanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa semulia-mulia dikalangan manusia itu ialah mereka yang paling bertakwa.

Lanjutan daripada itu juga, mereka yang berjaya ialah mereka yang benar-benar menghayati Ramadan seutuhnya sebagai satu ibadah yang selengkapnya, iaitu yang mampu membawa kesan takwa yang terpancar menerusi akhlak mulia dan berupaya pula mengawal nafsu yang sering memburu kelazatan jasmaniah.

Bagi mereka yang berusaha keras dan bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara puasanya, maka puasanya merupakan pembersihan rohaniah daripada daki cintakan dunia (hubbud-dunya). Puasanya juga berupaya untuk mendidiknya daripada menjadi rakus terhadap dunia seperti gila kuasa dan pangkat, bakhil, gelojoh, lupa diri, sombong, tamak, pembazir dan suka bermewah-mewah.

Seperti mana puasa itu dapat mendidik supaya lebih bertanggungjawab dan mengangkat kemuliaan diri, maka puasa itu juga mengubah cita rasa, budaya dan minda; dengan menguatkan kepedulian terhadap masyarakat menerusi iltizam dan pengorbanan untuk manusia lain melalui amalan infaq atau sedekah. Banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai budaya infaq ini yang mana ia mempunyai kaitan yang sangat erat dengan takwa.

Infaq memerlukan persediaan minda yang bukan sedikit dan amalan infaq juga tidak dapat dibudayakan tanpa pemerkasaan nilai-nilai takwa di dalam diri seseorang Muslim. Oleh yang demikian, amalan infaq itu sekali gus merupakan persediaan budaya, minda dan rohaniah. Iaitu keinsafan kepada hakikat-hakikat abadi yang lebih agung dan suci, yang pastinya melebihi kesibukan dan hal-hal remeh keduniaan.

Seperti mana halnya solat yang difardukan kepada setiap orang Islam adalah perhubungan tetap antara hamba dengan Tuhannya, dan juga mi'raj orang-orang yang beriman. Sekiranya longgar perhubungan dengan Tuhan, maka longgarlah hubungan dan ikatannya dengan alam ketuhanan dan alam kemanusiaan ini. Maka solat sekali gus merupakan tarbiyyah dan ibadah peribadi dan kemasyarakatan yang memberi bentuk dan watak rabbani kepada pandangan hidup seorang Muslim berserta dengan perasaan dan tingkah lakunya sama ada terhadap diri sendiri ataupun kepada masyarakat.

Begitulah juga halnya dengan puasa. Dengan sempurnanya amalan puasa, maka amalan infaq akan membudaya tanpa dipaksa-paksa dan dibuat-buat. Seseorang Muslim itu akan mengakuri kurniaan rezeki dari Ilahi, bahawa Tuhan adalah Pemilik Mutlak dan bahawa manusia hanyalah pemegang amanah yang mentadbirnya.

Memang manusia disuntik dengan rasa pelbagai macam keinginan terhadap dunia. Maka untuk mengawalnya, manusia perlu dididik tentang wujudnya sesuatu yang lebih baik daripada kesemua rasa kecintaan dunia, iaitu apa yang disediakan di akhirat itu adalah lebih sempurna dan abadi.

Pengalaman hidup telah membuktikan bahawa gara-gara berebut hartalah, maka manusia sanggup berbunuhan dan berpecah belah. Oleh yang demikian, lantaran pelbagai cabaran inilah maka tidak mudah untuk manusia melakukan infaq secara rela dan insaf. Kejayaan melawan sifat kikir dan bakhil ini merupakan kejayaan yang amat bererti pada menjalani ibadah puasa ini.

Malah, pahlawan Muslim yang sejati adalah mereka yang berjaya mengawal runtunan nafsu dan berinfaq secara ikhlas ketika senang ataupun susah. Inilah yang diterangkan oleh al-Quran akan segolongan manusia yang dipuji oleh Allah SWT. Kerana subur budaya infaqnya iaitu mereka yang membelanjakan harta mereka pada siang dan malam harinya secara sembunyi atau secara terbuka.

Inilah antara pengajaran yang dibawa oleh ibadah puasa, iaitu manusia dihargai dalam pandangan Allah SWT menurut amal perbuatan berdasarkan takwanya, iaitu suatu penegasan tentang pencapaian amalan yang ikhlas dan mulia. Iaitu dalam pengertian bahawa penghargaan kepada seseorang didasarkan kepada apa yang dapat dibuat dan dicapai oleh seseorang.

Malah, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa perbuatan makruf dapat menghakiskan kejahatan, sedekah atau infaq yang disumbangkan secara sembunyi boleh memadam murka Tuhan dan menghubungkan silatur rahim boleh memanjangkan umur.

Atas dasar keinsafan itu, hendaknya kita tidak menjalani hidup ini dengan santai dan angan mudah, melainkan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan. Sebab apa-apa pun yang kita perbuat kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Khaliq suatu masa nanti.

Penulis ialah Felo, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 1 September 2010

Banyakkan Amalan Di Hari Yang Kesepuluh Terakhir Ramadan

Hadith :

Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

1. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.

2. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.

3. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, 25 Ogos 2010

KEBESARAN LAILATUL QADAR

Umat Islam seluruh dunia tidak pernah melepaskan peluang mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. - Gambar hiasan

Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan para aulia dan orang yang soleh kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk beroleh keberkatan dan rahmat yang tersembunyi di dalamnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, di dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau. (riwayat Muslim)

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada 1,000 bulan .

Ulama berselisih dalam menentukan malam berlaku Lailatul Qadar. Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam al-Qadar itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya oleh golongan yang beriman, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah SAW, ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama 1,000 bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.

Usia baginda dan umatnya adalah pendek. Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 83 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun sahaja.

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa.

Selasa, 24 Ogos 2010

KEWAJIPAN MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

Hadis:

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Huraian:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang Islam.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram).

4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah).

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Catatan : Kaunter Zakat Fitrah dibuka pada setiap malam di Masjid Perkampungan Sg Isap Fasa 111. Amil yang dilantik ialah Tuan Haji Yassin Jaafar dan kadar zakat fitrah pada tahun ini sebagai mana ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Pahang ialah RM 7.00 seorang.

Jumaat, 20 Ogos 2010

17 KESILAPAN ORANG YANG BERPUASA:

1. Tidak menetapkan niat fardu puasa pada setiap malam hari walaupun memadai dengan niat pada awal Ramadan.

2. Masih makan dan minum ketika azan Subuh.


3. Bersahur awal dan melewatkan berbuka.


4. Berlebih dalam menyediakan juadah berbuka sehingga menghilangkan keberkatan puasa.

5. Tidak menjaga solat fardu atau melengah-lengahkannya.

6. Tidak menjaga lidah daripada ucapan sia-sia, mengumpat, memfitnah atau berdusta.

7. Membazir masa dengan melakukan kerja tidak berfaedah seperti menonton televisyen dan mendengar radio.


8. Meringan-ringankan ibadat sunat seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, solat-solat sunat dan beristighfar.

9. Tidak menunaikan solat Tarawih.

10. Hanya bersungguh-sungguh melakukan amalan pada awal Ramadan, kemudian mengurangkan amal ibadat di pertengahan dan pada sepuluh malam terakhir.

11. Tidak menghidupkan sepuluh malam terakhir. (Nabi mengejutkan ahli keluarganya beriqtikaf dan berqiamulail).

12. Bakhil, kedekut harta serta tidak membantu orang yang berhajat dan tidak bersedekah.

13. Keluarnya wanita ke masjid dengan memakai perhiasan, wangian yang membawa fitnah.

14. Wanita keluar berduyun-duyun ke pasar membeli juadah (bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram).

15. Tidak memperbanyakkan takbir pada malam hari raya lantaran sibuk dengan perhiasan rumah dan persediaan kuih-muih.

16. Lewat membayar zakat fitrah sehingga selesai solat hari raya.

17. Berhari raya dengan hawa nafsu, hiburan yang melalaikan dan pembaziran yang melampau.

Sumber : Buku Adab Ramadan

PROGRAM PENGISIAN RAMADHAN TERKINI


SABTU (21 OGOS 2010)
KULIAH DHUHA UNTUK MUSLIMAT BERMULA PUKUL 9.00 PAGI

AHAD ( 22 OGOS 2010)
CERAMAH AGAMA AKAN DISAMPAIKAN OLEH USTAZ AZHAR IDRUS BERMULA PUKUL 5.45 PETANG

(Hidangan Berbuka Puasa disediakan)

MUSLIMIN & MUSLIMAT DIPERSILAKAN HADIR BERAMAI-RAMAI

Khamis, 19 Ogos 2010

Mengembalikan kegemilangan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu


Oleh : Prof Dr. Zaini Ujang

SETIAP kali Ramadan, masjid di seluruh dunia bertukar suasana. Meriah dan penuh dengan acara. Selain majlis berbuka puasa dan solat tarawih, masjid juga menjadi kunjungan untuk bertadarus al-Quran, tazkirah dan qiamulail. Ada juga masjid yang memainkan peranan sebagai pusat kegiatan masyarakat sepanjang Ramadan, daripada penyediaan juadah berbuka puasa sehinggalah program ziarah pesakit di hospital.


Memang masjid mempunyai peranan penting dalam sejarah Islam. Sebelum tiba di Madinah, dalam rangka hijrah, Rasulullah SAW telah mendirikan Masjid Quba. Semua pusat pendidikan, perdagangan dan pentadbiran sepanjang sejarah Islam berligar di sekitar masjid. Barangkali tidak salah untuk merumuskan bahawa institusi masjid mencetuskan perkembangan peradaban Islam.

Peradaban Islam melonjak dalam bidang ilmu sains dan teknologi; perdagangan dan keadilan sosial sehinggalah mewarnakan norma dan tata budaya zaman bermula abad kelapan masihi. Hal ini menarik warga sezaman dari Timur dan Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di pusat ilmu yang ketika itu dikenali sebagai madrasah, maktab atau jamiah yang semuanya berpusat di masjid di serata negara Islam. Sebahagiannya pulang berbekal ilmu pengetahuan yang dikembangkan menerusi epistemologi dan peradaban Islam dalam bidang matematik, falsafah, perubatan, kimia, fizik, kejuruteraan, perundangan dan lain-lain.

Kegemilangan peradaban ilmu ini diungkapkan oleh Herbert A Davies: Orang Muslim telah mendirikan universiti besar selama beberapa abad jauh mengatasi Eropah Kristian. Perpustakaan besar dibangunkan, berisi beratus ribu jilid buku yang terdaftar dan tersusun rapi. Ramai orang Kristian belajar di Universiti Cordova membawa ilmu dan kebudayaan ke negeri asal mereka.

Sempena Ramadan mulia ini marilah kita berfikir. Bagaimanakah sejarah itu boleh kita ulangi? Bagaimanakah universiti di negara Islam kembali menjadi pusat kecemerlangan ilmu termaju mendahului saingannya di Timur dan Barat? Apakah sekadar kita berpuas hati dengan catatan nostalgia bahawa masjid pernah menjadi pusat pembangunan peradaban Islam?

Sehubungan itu saya menyarankan lima langkah perlu difahami dan dihayati.

Pertama: Seluruh umat Islam khususnya golongan pelajar dan pendidik perlu memurnikan niat, meningkatkan komitmen dan penghayatan ilmu. Makna penghayatan ilmu bukan sekadar memencil diri membaca, menekuni, memahami dan meluahkan kembali mantra ilmu di atas kertas untuk memenuhi tuntutan mendapatkan segulung ijazah. Bagi umat Islam, penghayatan ilmu bermakna berusaha memaju dan merealisasikan ilmu dalam konteks amalan, pekerjaan, perniagaan, pentadbiran dan pembangunan ummah.

Kedua: Kita juga perlu meningkatkan minat dan amalan membaca bahan ilmu. Membaca adalah arahan pertama wahyu Ilahi. Membaca adalah kaedah untuk mendapatkan ilmu. Maka pada Ramadan yang mulia ini, marilah bersama-sama kita memulakan langkah memperbanyakkan membaca dan memahami al-Quran sebagai sumur ilmu utama disamping bahan ilmiah lain.

Ketiga: Marilah kita bersama memperkasakan potensi ilmu dalam kehidupan seharian dengan memanfaatkan kewujudan pusat ilmu seperti universiti, kolej, maktab, sekolah dan masjid. Universiti perlu berperanan penyubur kecemerlangan dan budaya ilmu menerusi aktiviti formal dan tidak formal.

Keempat: Marilah kita merealisasi dan menghayati ilmu dengan melaksanakan apa yang kita fahami. Kita juga perlu menggunakan hasil penyelidikan dan inovasi yang dilakukan termasuk warga kampus untuk manfaat umat sejagat.

Kelima: Kita perlu terus berinovasi untuk menghadapi cabaran dan saingan sejagat, selari inisiatif kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi.
Inovasi bukan hanya untuk golongan intelektual, karyawan dan seniman semata-mata. Inovasi boleh dan perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam dalam bidang kepakaran, pekerjaan dan minat masing-masing.

Sesungguhnya masjid adalah simbol kegemilangan Islam. Maka Ramadan seharusnya mengingatkan kita supaya masjid terus dimakmurkan.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/