SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat
Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan
buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah
SWT.
Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata: "Apabila
tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal
dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya.
Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam
tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup
kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang
lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata:
"Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam
Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar."
Malam pengampunan
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban,
maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan
musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."
Imam al-Auza'i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap
pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan
ummah (Muhammad SAW).
Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani': Saya bertanya Ibnu
Thauban tentang makna musyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang
meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah
mereka.
Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban,
maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang
kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka
meninggalkannya."
Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan
sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan
Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di
Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda:
"Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata:
"Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu
mendatangi isteri-isterimu yang lain."
Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan
rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang
lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."
Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu
membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada
kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada
azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana
pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh
saudaraku, Daud AS "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan
berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya."
Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya
Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan
tidak celaka."
Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada
malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit
dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan
orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang
bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan
mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.
"Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa
memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa
yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa
yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."
Mustajab doa
Abu Sa'id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah
berkata, "Wahai Abu Sa'id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang
pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu
pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW."
Berkata Abu Sa'id RA, "Apabila Rasulullah SAW keluar
solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: "Ya Allah! Penuhilah pendengaranku
dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku
dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan
cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan
rahmat-Mu terhadapku."
Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah:
"Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan
menzalimimu?" Aisyah berkata, "Saya berkata, "Bukan begitu,
wahai Rasulullah!" Sabda Baginda: "Telah datang kepada saya Jibril AS
dan berkata, "Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada
malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu
kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik,
tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim,
orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada
ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."
Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang
dibacanya, maka Baginda bersabda, "Wahai Aisyah! Adakah kamu telah
mengetahuinya?" Saya berkata, "Ya." Baginda bersabda,
"Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada
saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud."
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan