Oleh : Prof Dr. Sidek Baba
Kalimah ALLAH adalah sesuatu yang
khusus untuk Islam. Kalimah ini memberikan kita makna yang amat tersendiri dan
merujuk juga kepada hakikat. Hakikat makna ALLAH itu mendukung konsep keesaan.
Inilah landasan tauhid yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.
Orang Kristian menghubungkan Tuhannya dengan
Yahweh, Elohim atau Adonai dan tidak boleh disamakan dengan ALLAH.
Keimanan kita kepada Kitab Injil
yang mendukung maksud hunafa’ atau hanif adalah berbeza dengan maksud Trinity
yang mengungkapkan Satu Dalam Tiga dan Tiga Dalam Satu.
Oleh itu menyamakan kalimah ALLAH
dan segala macam implikasinya dengan konsep Trinity amat bercanggah kerana
dalam Surah al Ikhlas dan Surah al Kafirun memberi asas yang jelas bagi
penganut Islam. Jesus atau Nabi Isa dalam Islam adalah Nabi dan Rasul bukannya
anak Tuhan.
Implikasi kalimah ALLAH dengan
persoalan tauhid, ibadah, syariah dan akhlak adalah berkaitan. ALLAH, yang
memberikan landasan tauhid tidak hanya pada nama tetapi terhubung dengan
tasawwur bahawa ALLAH itu SATU dan terhubung dengan makna dan hakikat kesatuan.
ALLAH dan penciptaan, ALLAH dan rahmah serta
nikmah, ALLAH dengan ilmu dan kebenaran, ALLAH dengan planet dan galaksi berada
dalam satu kesatuan. Ia memberi asas epistemologi (teori ilmu dan asal-usul
ilmu) yang terhubung langsung dengan ALLAH.
Oleh itu kalimah ALLAH tidak
boleh disamakan makna dan hakikatnya dengan istilah-istilah lain yang
memberikan konotasi atau pengertian berbeza.
Al-Quran memberikan pedoman
“Laqum Deenukum walyadeen- Kamu agama kamu, kami agama kami". Malah Rasulullah
SAW menegah umatnya daripada menghina agama lain, dibimbangi orang lain akan
menghina Islam.
Soal perbezaan dalam agama adalah
sesuatu yang wujud terutama dalam bidang aqidah dan ibadah. Penganut
agama-agama harus ada etika untuk berbeza (ethics of differences) supaya
perbezaan tidak tercetus menjadi hal yang sensitif dan menyebabkan keresahan.
Pihak yang ingin memaksa
penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu harus sensitif dengan
perasaan orang Islam. Ia membawa implikasi dalam aqidah mereka. Malah
undang-undang atau enakmen Islam negeri-negeri bagi banyak negeri sejak sekian
lama memaktubkan perkara ini.
Memaksa penggunaan kalimah ALLAH
itu bagi orang bukan Islam nantinya akan ditanggapi ada maksud yang tersurat
dan tersirat. Ia menjadi tidak baik bagi masyarakat beragama di Malaysia.
Sifat saling memahami dan
toleransi perlu ada di kalangan pihak lain supaya perkara yang diterima sekian
lama sebagai sesuatu yang sah bagi Islam menimbulkan salah faham dan curiga.
Bagi tokoh-tokoh politik yang
bukan Islam, apa hak mereka ini memaksakan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible
versi Bahasa Melayu.
Pertama mereka harus belajar
menghormati kuasa mufti, majlis fatwa, kuasa Raja-Sultan terhadap ehwal agama
Islam dan enakmen atau undang-undang mengenainya yang sudah diputuskan oleh
banyak negeri.
Kedua, mereka harus menghormati
keputusan syarak yang dinyatakan oleh individu berwibawa mengenainya atau
majlis syura Islami yang membuat keputusan mengenainya.
Seperti juga penganut agama lain
berhak membuat keputusan mengenai agama mereka tetapi tidak memandai-mandai
memaksa agama lain supaya menerima apa yang mereka putuskan.
Kalimah ALLAH adalah sesuatu yang
unik dan khusus bagi penganut Islam. Ia tidak boleh disamakan dengan patung
bagi orang Kristian dan berhala bagi orang Hindu kerana ia membawa implikasi
lain. Justeru menghormati hak orang Islam seharusnya menjadi amalan.
Kalimah ALLAH membawa konsep
tersendiri mengenai Tuhan. Ia sebagai tunjang akidah tauhid yang membentuk
suatu tasawwur atau pandangan semesta terhadap Pencipta dan hasil ciptaannya.
Tasawwur yang Islami menjadikan
aqidah tauhid sebagai landasan dalam beragama. Konsep ALLAH tidak boleh
disyarikatkan dengan perkara-perkara lain yang mendorong kepada faktor syirik.
Dosa syirik tidak ada keampunan daripada ALLAH.
Oleh itu umat Islam amat menjaga
kalimah-kalimah penting yang ada dalam al-Quran termasuk wahyu, kitab, nabi,
rasul, imam, makmum dan seumpamanya kerana kalimah-kalimah itu terhubung
langsung dengan Islam.
Menyalahgunakan kalimah-kalimah
ini akan membawa konotasi dan kesan yang berbeza dan ia boleh menimbulkan
kekeliruan dan kekacauan terhadap makna yang lari dari maksud Islami. Hal ini
patut dihormati oleh pihak lain supaya Islam tidak dipersendakan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan