Jumaat, 8 Februari 2013

Membetulkan persepsi politik dakwah


Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

HASAN al-Banna (1906-1949) seorang pendidik dan pengasas Ikhwanul Muslimin berjaya menterjemahkan intipati politik dalam perjuangan dakwah dengan menetapkan pendirian: ''Islam adalah sebuah sistem sejagat yang lengkap dan mencakupi seluruh aspek hidup dan kehidupan.

Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan rakyat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan kesaksamaan, bahan dan sumber kuasa alam, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan pemikiran, sebagaimana Islam adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih."

Keluasan sudut pandangan itulah menjadikan setiap tindakan yang dilaksanakan oleh Ikhwanul Muslimin cepat mendapat perhatian sehingga dalam masa yang begitu singkat ia telah menjangkau hampir ke seluruh Mesir.

Beberapa hari lagi, tentunya ramai penyokong Ikhwanul Muslimin akan mengingati tarikh kematian tragis pengasas mereka Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949. Ini kerana, walaupun Ikhwanul Muslimin pernah dibubarkan oleh pemerintah, sokongan dan perhatian masyarakat Mesir begitu besar sehingga pada Jun 2012, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) menang dalam pilihan raya Presiden.

Kemenangan itu memberikan sentuhan emosi kepada parti-parti politik pembangkang di Malaysia dan dijadikan sebagai membangkit semangat untuk menumbangkan kerajaan yang memerintah dalam PRU-13.

Jika meneliti sejarah perjuangan Hasan al-Banna, ternyata Ikhwanul Muslimin tidak pernah menggunakan kekerasan sehinggalah organisasi itu banyak dipengaruhi oleh Sayyid Qutb setelah kematian Hasan al-Banna.

Hasan al-Banna walaupun kemenangannya dalam pilihan raya di Ismailiyyah pernah dinafikan, organisasi Ikhwanul Muslimin dan sekolah-sekolah kendaliannya ditutup, manakala penerbitan akhbar dihentikan, beliau tidak pernah mengesyorkan penyokong-penyokong berhimpun dan melakukan tunjuk perasaan.

Pendekatan itu menyebabkan Ikhwanul Muslimin terus dihormati dan kaedah berpolitik yang diasaskan oleh Hasan al-Banna lebih menjuruskan kepada kehendak Islam berbanding perilaku pemimpin-pemimpin politik pembangkang di Malaysia.

Cara berpolitik yang diterjemahkan oleh Hasan al-Banna tidak mempengaruhi corak perjuangan sebuah parti pembangkang yang mendakwa perjuangan mereka adalah untuk memerintah berdasarkan prinsip syariah, kerana setiap kali bermasalah, parti itu sering menyalahkan parti lawan dan melancarkan serangan dengan melabelkan parti berkenaan "membuang Islam" manakala pentadbiran yang telah memberikan rakyat kebebasan serta mempertahankan keamanan negara sebagai zalim.

Belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia kemenangan parti lawan dinafikan dan kebebasan untuk memerintah disekat. Inilah yang berbeza secara jelas antara tekanan yang dihadapi oleh Ikhwanul Muslimin sehingga tertubuhnya Parti Kebebasan dan Keadilan setelah ramai calon Ikhwanul Muslimin bertanding atas platform bebas sebelumnya tidak disenangi oleh pemerintah Mesir.

Kebangkitan rakyat Mesir mendesak peletakan jawatan Hosni Mubarak pada akhir 2010 dan berjaya dilakukan pada 12 Februari 2011, seharusnya menjadi teladan terbaik bagi umat Islam di Malaysia. Meskipun FJP diisytiharkan menang dan Dr. Mohamed Morsi dilantik sebagai Presiden lebih enam bulan lalu, keadaan Mesir masih belum aman.

Dengan mengambil iktibar daripada Arab Spring, boleh dirumuskan bahawa kemenangan dalam sesuatu perjuangan bukan boleh menjamin keadaan selepasnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mesir terus dibelenggu ketakutan dan ketidakstabilan politik serta pertumbuhan ekonominya merudum.

Usaha Morsi untuk meneruskan perjuangan Ikhwanul Muslimin pada masa ini terus menerima tentangan hebat daripada kelompok liberal, saki-baki penyokong Hosni dan kumpulan politik berhaluan kiri Islam.

Hal seperti ini turut berlaku di Malaysia apabila parti-parti politik pembangkang berusaha meraih sokongan dengan mempertajamkan persepsi masyarakat dengan mengusung kekeliruan dan penafian peluang yang terbuka untuk mereka berpolitik secara budiman.

Politik adaptasi yang sedang berkembang dalam pakatan pembangkang misalnya menyebabkan pemimpin akar umbi mempersoalkan kewajaran penyebaran dakwah yang telah dilaksanakan dalam konteks tahaluf siyasi (kerjasama politik). Kerjasama yang terjalin tidak membuktikan adanya kompromi yang lebih baik, sebaliknya menjadikan satu pihak terpaksa akur dan bersetuju walaupun ia bukan memberikan kebaikan kepada Islam.

Apabila berlakunya "pelanggaran prinsip", kewajaran yang dianggap sebagai tragedi kepada umat Islam itu akhirnya cuba ditutupi dengan mudah oleh pemimpin parti yang pada mulanya pernah melabelkan parti lawan yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir dan menimbulkan ketakutan rakyat. Persoalannya, itukah bentuknya perjuangan politik di jalur dakwah atau berdakwah melalui politik?

Ibnul Qayyim Al Jauzi yang menulis kitab Ath Thuruq al Hukmiyyah berpendapat, "Allah Ta'ala mengutus para Rasul dengan menurunkan kitab-kitab suci-Nya, dengan tujuan agar manusia dapat menegakkan keadilan sesuai dengan prinsip-prinsip langit dan bumi. Jika keadilan muncul dan terlihat dalam bentuk apa pun, maka itulah syariat Allah dan agama-Nya".

Kata Ibnul Qayyim lagi: "Bahkan Allah Ta'ala telah menjelaskan bahawa garis-garis yang telah ditetapkan itu dimaksudkan untuk menyemarakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan agar manusia berlaku adil di muka bumi. Dengan cara apa pun yang diambil, jika sesuai dengan garis- garis yang telah dijelaskan untuk mewujudkan keadilan, adalah sebahagian dari agama dan tidak bertentangan dengannya. Jadi tidak dapat dikatakan bahawa keadilan politik itu bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh syariah, melainkan ia sesuai dengan apa yang dibawa oleh syariah dan bahkan sebagian bersepadu dengannya."

Maknanya, apabila ada cadangan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan menyatukan kelompok politik yang berpecah, maka hasrat tersebut sepatutnya disambut dengan berlapang dada. Tetapi, lebih menyedihkan apabila usaha itu cuba dirintis, parti yang mempertahankan emosi marahnya terus menyatakan "pintu rundingan sudah tertutup" manakala kerjasama tidak boleh berlaku dalam bidang politik.

Maksudnya, parti berkenaan sendiri tidak mahukan perpaduan dan telah mencemari perspektif bahawa "politik dan agama tidak boleh dipisahkan" kerana Islam adalah addin dan bukannya boleh dipisah-pisahkan sebagaimana dilakukan oleh parti politik sekular.

Istilah politik atau siyasah tidak ditemui dalam al-Quran dan hadis tetapi beberapa keadaan dan konteks yang boleh memberikan gambaran bagaimana bentuknya berpolitik bagi memperkasakan dakwah dan dengan berdakwah, politik menjadi suatu kaedah yang terbaik dan bukan saling menyerang atau berperang.

Siyasah jika dikembangkan sebagai satu seni dan sekali gus kemahiran, ia mengandungi kebolehan mengurus, melakukan dan melaksanakan perubahan, membangunkan kebaikan awam, prihatin terhadap kehidupan dan masalah rakyat, dan yang lebih diutamakan ialah tidak mewujudkan sekumpulan pemimpin yang hanya tahu mencari salah, mengecam dam menyalahkan orang lain bagi menyembunyikan kelemahan sendiri.

Berpolitik seringkali dikaitkan dengan parti politik tetapi setiap kali melaksanakan aktivitinya, ramai yang lupa untuk mengaitkannya dengan dakwah. Dalam merumuskan hubungan itu, Hasan al-Banna berpendapat untuk mengatasi masalah kemunduran dan perpecahan umat, kita memerlukan terapi bersepadu dan komprehensif, ia sepatutnya diajukan dengan "gagasan memperbaiki kebaikan hubungan umat", agar mencapai kehormatan dan kemuliaan.

Maknanya, dalam berpolitik dakwah mestilah berhemah. Ketika berdakwah, politiknya mestilah beretika agar dapat melahirkan umat yang budiman, iaitu umat yang menghormati dan menghayati bahawa Islam dipenuhi elemen kasih sayang. Islam bukanlah kaedah berpolitik mengancam dan saling menyerang, walaupun berbeza ideologi. ia meletakkan kesatuan umat di tangga teratas.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan