Oleh : FATHUL BARI
Ramadan memiliki keutamaan yang banyak untuk diraih umat Islam. Ia adalah
bulan diturunkan al-Quran. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Ramadan adalah
bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara al-haq dan batil).” (Surah
Al-Baqarah : 185)
Petunjuk Nabi SAW itu melihatkan Baginda SAW memanfaatkan Ramadan
Al-Mubarak dengan banyak membaca al-Quran. Nabi SAW membaca dan mengkhatamkan
al-Quran pada setiap tahun dalam Ramadan Al- Mubarak bersama dengan Jibrail AS.
Maka dengan itu antara amalan yang paling baik di dalam bulan Ramadhan Al
Mubarak selain daripada berpuasa adalah membaca al-Quran.
Dalam Ramadan terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan,
Lailatulqadar. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah
menurunkannya (al-Quran) pada malam Al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam
Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhannya untuk
mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”
(Surah Al-Qadr : 1-5)
Manusia hari ini sibuk membanyakkan duit. Mereka bertanya berapa dividen
atau gandaan wang yang akan diperoleh hasil pelaburan tersebut. Ini kerana
ingin menggandakan harta dan wang ringgit masing-masing.
Barangan kosmetik digunakan untuk menggandakan kecantikan. Ini adalah
fitrah manusia yang boleh dilihat dalam realiti kehidupan.
Manusia sukar berasa cukup dan sentiasa berusaha untuk mendapat lebih.
Tetapi bagaimanakah usaha dalam menggandakan amalan kebaikan untuk mendapatkan
keredaan dan syurga di sisi ALLAH SWT?
Hal ini perlu dijadikan muhasabah. Apatah lagi ketika Ramadan yang penuh
keberkatan, ALLAH menyediakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan
untuk manusia yang beramal pada malam itu.
Maka sewajarnya kita perlu berusaha sepanjang Ramadan untuk mendapatkan
malam tersebut. Kebiasaannya masuk minggu kedua, kita disibukkan dengan
memenuhi jemputan majlis berbuka puasa di hotel yang menyediakan pelbagai
juadah berbuka puasa yang lazat.
Manusia juga dighairahkan untuk bersolat Tarawih di belakang imam import.
Ada juga yang sanggup pergi mencari imam di masjid yang jauh untuk solat
Tarawih di belakang imam pilihan semata-mata sehingga meninggalkan kewajipan
solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
Masuk minggu terakhir mereka mula disibukkan dengan persiapan raya dan
rancangan menarik di televisyen sehingga melupakan kelebihan yang ALLAH
tawarkan kepada hamba-Nya yang menghidupkan Ramadan.
Manusia kadang-kadang tidak memahami keutamaan. Apa yang penting yang ingin
saya sampaikan adalah berkaitan kelebihan bulan Ramadhan yang tidak wajar
disia-siakan kerana Allah menyediakan di dalam bulan ini perkara-perkara yang
sangat baik dan tidak akan bisa diperoleh pada bulan-bulan lain khususnya
Lailatulqadar.
Sabda Nabi SAW, maksudnya: “Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu
syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan dibelenggu.” (Riwayat Imam
Al Bukhari)
Jadi pada bulan ini syaitan diikat. Jika ditanya, mengapa masih ada manusia
berbuat perkara jahat, mengapa masih ada orang yang tidak berpuasa, kata Syaikh
Muhammad bin Shalih Al Utsaimi, syaitan di dalam tubuh badan manusia. Maksudnya
si pelaku dosa itu sendiri adalah “syaitan” yang tidak mampu mengawal hawa
nafsunya dan menyebabkan dia melaksanakan amalan yang bercanggah dengan syariat
iaitu maksiat.
Ini adalah antara kelebihan Ramadan dan sebagai janji ALLAH SWT di mana
ALLAH SWT tidak akan menzalimi seorang pun daripada kalangan hamba-Nya seperti
firman-Nya yang bermaksudnya: “Dan Tuhan mu tidak menzalimi seorang pun.”
(Surah Al-Kahfi : 49) Maka tawaran yang penuh dengan kepastian ini hendaklah
kita berusaha untuk mendapatkannya.
Pada hari ini jika pergi ke restoran makanan segera, Kita melihat menu
sahaja diberi gambaran sedap dan menyelerakan. Ini tawaran manusia kepada kita
di atas muka bumi yang apabila sampai makanan itu kepada kita, kadangkala
rasanya tidak seperti yang digambarkan. Ini kerana tawaran manusia bersifat
tidak pasti.
Kadangkala juga kita melihat seseorang itu wajahnya cantik dan elok, tetapi
sikap dan akhlaknya bukan seperti manusia yang normal. Akan tetapi tawaran
Allah SWT adalah syurga. Tawaran Allah SWT adalah membebaskan kita daripada
neraka. Tawaran Allah SWT bersifat pasti. Inilah hebatnya tawaran ALLAH SWT
yang tidak akan menzalimi hamba-Nya dan segala-galanya kembali kepada kehendak
dan ketentuan Ilahi.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan