KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54
yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada
peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara
kategori qari (lelaki).
Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan
bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang
qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik
Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).
Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae
Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94
peratus, sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.
Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa
dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid,
kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa
pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil
penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu.
Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta
cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima
RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu
hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil
penyertaan.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa
syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila
dinobatkan
sebagai juara.
"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di
tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk
mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak
membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa
kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.
Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki
ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak
yang banyak memberi sokongan serta dorongan kepadanya.
"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga
dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V
jurusan pengajian Islam menerusi
penterjemah.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema
'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam
mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara
antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria.
Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah
memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid.
Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga
negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan