Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Inilah
kehebatan lidah, jika digunakan dengan baik akan baiklah hasilnya tetapi jika
salah percaturan, disebabkan lidah tidak dipelihara, maka buruk padahnya.
Kemungkaran paling mudah dikaitkan dengan lidah ialah ghibah
atau mengumpat, yang berakar dalam masyarakat hingga dianggap remeh dan perkara
lazim. Anas bin Malik memberitahu Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ketika aku
dimikrajkan, aku lewati suatu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga, mencakari
muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya, Siapakah mereka itu, wahai Jibril?
Kata Jibril: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (yang suka
mengumpat) dan menjatuhkan martabat peribadi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun, ghibah atau mengumpat masih ada kelonggaran
dalam beberapa situasi. Imam an-Nawawi dalam kitab agungnya, ‘Riyadus Solihin’
bahagian Fekah Berjiran Tetangga mengemukakan beberapa keadaan membenarkan
seseorang itu melakukan ghibah.
Ghibah apabila dalam keadaan dizalimi. Ini bermakna
seseorang yang dizalimi maka dibenarkan mengadu kepada pihak tertentu supaya
yang melakukan kezaliman itu menghentikan perbuatannya. Orang dianiaya tidak
lagi tertakluk pada larangan ghibah kerana aduan itu termasuk pencegahan.
Ghibah apabila meminta pertolongan orang lain supaya
melenyapkan kejahatan dan bertujuan memperingatkan mereka yang berbuat jahat.
Ini dibolehkan jika seseorang itu tidak mampu menanganinya sendiri dan
memerlukan bantuan orang lain yang berkemampuan menghentikannya.
Mengadu pihak tertentu yang lebih arif berhubung fatwa
seperti dilakukan Hindun binti Utbah yang datang menemui Rasulullah SAW dan
mengadu Abu Sufyan tidak memberikan belanja mencukupi.
Hindun tidak melakukan ghibah tetapi mengharapkan Rasulullah SAW memberikan hukum.
Memanggil atau menamakan seseorang mengikut gelaran tertentu
yang sudah biasa digunakan kepadanya. Ini sebenarnya bukan menghina atau
memburukkan seseorang lantaran nama gelaran itu sudah lazim disebut.
Ghibah apabila seseorang yang jelas menampakkan
kefasikannya. Kata Ash-Shultu bin Thuraif, “Aku ada bertanya kepada Hasan
al-Basri: Lelaki fasik yang menampakkan kemaksiatannya, apakah sebutanku
kepadanya? Apakah ada pengumpatan itu kepadanya? Jawab Hasan al-Basri: Tiga
macam manusia yang tiada pengumpatan terhadapnya, iaitu yang mengikut hawa
nafsu, orang fasik yang menampakkan kefasikannya dan imam (penguasa) yang
zalim.”
Justeru, walaupun perbuatan ghibah atau mengumpat suatu
amalan negatif yang amat ditegah agama, namun pada situasi tertentu ia masih
diberikan kelonggaran untuk berbuat demikian atas prinsip kepentingan individu
dan menjaga maruah agama.
Sumber : http : //www.bharian.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan