Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON
BULAN Syaaban kini semakin menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak
lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa wajib di
bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru segala persiapan bagi menemuinya wajar
dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang
diharap- harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat
bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza.
Akhirnya setelah Ramadan sekali berlalu, tiada nilai takwa mahupun ganjaran
setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan.
Justeru, umat Islam diseru melakukan persiapan bagi menemui Ramadan. Persiapan
itu termasuklah;
Bersihkan zahir dan batin
Setiap Muslim disarankan menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan
batin. Ini dapat dilakukan dengan menghindari diri daripada melakukan perkara
keji dan mungkar selain berniat untuk memenuhkan Ramadan dengan segala amalan
kebajikan. Begitu juga segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan ibadah
hendaklah dijauhi. Sikap negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki
termasuk dalam kategori penyakit buruk yang perlu dijauhi.
Selain itu, amalan buruk berupa maksiat juga hendaklah dihindari sebagai
persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia
selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa
nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan
negatif.
Bersedia untuk berbuat amal ibadah
Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al- Quran, solat tarawih dan
qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru mengimarahkan surau dan
masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar beroleh ganjaran
rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Di samping itu
segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara yang baik.
Elakkan membazirkan masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah seperti
bersembang mahupun tidur seharian. Peruntukan juga sebahagian wang untuk
bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ini termasuk membayar zakat
fitrah bagi semua tanggungan jika memenuhi syarat diwajibkan. Kesemua ini jika
dilakukan dengan ikhlas akan dibalas dengan ganjaran yang tidak ternilai di
sisi Allah SWT.
Berpuasa dalam erti kata yang sebenar
Segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa hanya menahan diri daripada
makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta
tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya
pengertian puasa cukup luas. Selain makan dan minum seluruh anggota dan
pancaindera juga berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam
masa sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup
aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru menghindari mengumpat,
mengeji orang lain kerana dikhuatiri mengurangkan pahala berpuasa.
Di samping itu pekerjaan seharian hendaklah diteruskan, kerana puasa tidak
sepatutnya menjejaskan produktiviti dan kesungguhan bekerja. Ia juga termasuk
aktiviti ibadah yang diberi pahala jika tidak melanggar ketetapan syariat.
Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sendiri sibuk berjuang menentang
Musyrikin Mekah dalam Perang Badar al-Kubra di saat mereka sedang berpuasa dan
beroleh kemenangan dalam peperangan itu.
Berjihad mencari lailatul qadar
Ramadan tiba setahun sekali, begitu juga malam lailatul qadar yang
didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini
tidak patut dipersiakan. Malah setiap individu Muslim perlu menanam azam untuk
berjihad dengan bersungguh- sungguh bagi mencari malam kemuliaan itu seraya
beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk
semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat. Inilah
saat segala doa dan permohonan sama ada bersifat duniawi dan ukhrawi akan
diperkenankan lagi dimakbulkan oleh Allah SWT. Justeru Ramadan bukan masa untuk
mencari pelbagai kuih-muih di Bazar Ramadan dan sibuk membuat persiapan Hari
Raya.
Bersegera menyelesaikan hutang puasa
Bagi yang masih belum mengqada puasa yang ditinggalkan diharap bersegera
berbuat demikian sebelum berakhirnya Syaaban.Jika tidak akan mendedahkan
pelakunya kepada dosa yang dimurkai Allah SWT. Malah mereka tetap
dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika
menjangkaui Ramadan tahun yang baru.
Selain itu, umat Islam turut digalakkan membersihkan kawasan sekitar rumah
yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap bagi menyambut Ramadan.
Kawasan dalaman rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Begitu juga pakaian
yang cantik disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan.
Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya
pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik
bagi menyambut Ramadan.
Akhirnya bergembiralah untuk bertemu Ramadan dengan niat untuk berbakti
kepada Ilahi. Peluang ini belum tentu akan dinikmati pada masa hadapan kerana
hanya individu terpilih diberi kesempatan tersebut.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan
Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan