Oleh : Siti Shamsiah Binti Md Supi
SAMA ADA ia dinanti atau kunjungannya disambut dengan hati
sepi, ia tetap datang lagi. Namun, Baginda Rasulullah SAW mengatakan bahawa
kita seharusnya menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Gembiranya hati
menyambut kehadiran tetamu yang Allah SWT yang dimuliakan ini menandakan
wujudnya iman di hati.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut, "Telah datang
kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya
dengan penuh kegembiraan".
Sebagaimana asal kata Ramadan daripada perkataan 'ramida'
atau 'ramad' yang bermaksud cuaca panas terik atau kemarau yang keterlaluan,
yang membakar tanah. Suatu metafora rasa panas di dalam perut disebabkan
menahan dahaga. Panasnya Ramadan kerana ia berfungsi membakar dosa-dosa lalu
dengan memohon keampunan Allah SWT dan amalan-amalan soleh yang dilakukan
sepanjang bulan ini.
Sesi yang disediakan Allah secara khusus ini bukan sahaja
berfungsi sebagai platform, malah darjat yang tinggi, pahala, kelebihan dan
pelbagai keistimewaan turut disertakan sebagai pakej transformasi jiwa dan diri
yang amat sempurna. Di hujungnya pula suatu pengijazahan pada yang berjaya
sebagai insan sesuci bayi yang baru dilahirkan. Seperti mana bicara Rasulullah
SAW yang antaranya menyebut pada awal bulan ini adalah rahmat, pertengahannya
keampunan dan akhirnya kemerdekaan dari api neraka.
Istimewanya ia sebagai latihan jiwa yang bersifat amat telus
dan tulus kerana ujian-ujian yang terkandung di dalamnya hanya diselia oleh
iman dan dilihat oleh Tuhan yang satu dan menjadikan puasa sebagai disiplin
paling unggul. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, "Allah
berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri,
melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku mengurniakan balasan
bagi puasanya itu."
Pun begitu, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda, ia
harus menterjemahkan sifat empati dalam bentuk tindakan. Sementelah fakir
miskin gembira kerana pada waktu siang para Muslimin dan Mukmin yang berada dan
kaya juga berlapar dan merasa dahaga seperti mereka, maka si fakir miskin juga
menjadi sumber bagi golongan yang berada dan kaya untuk menambah pahala dengan
berkongsi rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.
Sedekah itu tidak sekali-kali diukur mengikut kuantiti,
tetapi diukur mengikut keikhlasan hati pemberi. Dalam bulan yang paling Allah
muliakan ini setiap sedekah yang dilakukan dengan ikhlas, akan menyuburkan
kasih sayang sesama insan.
Ujar Rasulullah SAW, "Wahai manusia, kamu kini hampir
dengan bulan yang agung lagi penuh keberkatan. Bulan yang salah satu malamnya
adalah lebih baik berbanding daripada seribu bulan".
Saban tahun kita menyambut dan menempuhinya. Saban tahun
juga kita diperingatkan dengan keindahan dan keistimewaan yang mengiringi
kedatangannya. Namun malangnya, di hujung-hujung lembaran waktu ketika ia mula
meninggalkan umat manusia, kebanyakan dari kalangan kita menjadi lebih asyik
untuk menyambut ketibaan Syawal dan tidak mengambil peluang untuk
memanfaatkannya secara maksimum.
Saf-saf yang mengikuti solat tarawih akan susut bermula di
pertengahan bulan dan menjadi lebih menyusut bila menuju ke penghujung Ramadan.
Hanya sedikit yang beriman akan beristiqamah untuk meneruskan amalan-amalan
yang digalakkan dalam Ramadan sehingga ke penghujungnya. Seperti bertadarus dan
beriktikaf.
Sifat 'hangat-hangat tahi ayam' ini tentunya tidak menepati
dengan apa yang dinyatakan Rasulullah SAW yang mengatakan pada awal bulan yang
dimuliakan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan
dari api neraka.
Jika ini terus menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu
Muslim, bermakna ia meninggalkan peluang keemasan untuk mempertingkatkan
kedudukan puasanya.
Tentunya tidak sama kualiti puasa orang yang berlapar dahaga
semata-mata jika hendak dibandingkan dengan puasa orang yang mengisinya dengan
amalan lain seperti bertilawah al-Quran, menghidupkan malam dengan bersolat
sunat dan membanyakkan sedekah.
Melakukan kebaikan dengan hati ikhlas tentunya mengundang
kegembiraan di sisi Allah dan memberi pulangan pahala kepada pelakunya. Secara
timbal baliknya pula, bagi mendidik hati supaya ikhlas tentulah kita harus
mengusahakannya dengan melakukan amalan soleh.
Melakukan ibadah berpuasa secara berkualiti secara konsisten
sehingga ke penghujungnya adalah usaha seorang individu Muslim untuk
mempertingkatkan darjat puasa dari puasa umum kepada puasa khawwas dan seterusnya
puasa khawasil khawwas. Iaitu dari puasa yang hanya menahan perbuatan-perbuatan
yang boleh membatalkan puasa kepada puasa yang menambah penahanan deria dan
anggota tubuh daripada melakukan dosa dan seterusnya kepada peringkat puasa
yang terbaik iaitu menahan perasaan terhadap perkara yang bersifat keduniaan
dan sebarang perkara yang tidak mempunyai hubung kait dengan Allah SWT.
Mudah-mudahan Ramadan pada kali ini akan diisi dengan
sebaik-baiknya kerana tiada kepastian kita akan menemuinya lagi pada tahun
hadapan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah,
Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan