Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali
Jum’ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi
Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat
sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban
daripada hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain
serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari
segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya’ban serta
menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan
padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis
yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam
tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ
: “فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ
أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ
:يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ
:قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ
فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى
السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ” –
رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah
berkata : “Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah
keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan
perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata
: Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke
atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan
kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara
yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda :
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada
malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang
dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat
pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb.”
-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ
عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” يَطَّلِعُ اللَّهُ
إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ
إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ” – رواه الطبرانى وصححه ابن حبان
.
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi
S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada
malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya
melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang
bermusuhan.”
-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله
وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “إِذَا كَانَتْ
لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ
اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا
مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى
فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ” – رواه ابن ماجه
.
Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W
telah bersabda : “Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun
pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala
menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya
matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku
akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan
memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya,
sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”
-Riwayat Ibnu Majah.
Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3
kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini
kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan
dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada
tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara
berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana
seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod (menjadikannya
sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang
membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
قَالَ : “كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ
كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً” – متفق عليه .
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W
akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan
ataupun menaiki tunggangan.”
-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari)
:
“Di dalam hadis ini walaupun berbeza
jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan
sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh
serta melakukannya secara berterusan.”
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif
Al-Ma’arif) :
“Ulama’ di Syam telah berselisih
pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada
dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di
masjid.
Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada
mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta
mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka
terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan
ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.”
Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid
untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya
seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan
Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara
berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan
orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi
bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan
tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain
serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka
menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan
sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang
menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum
makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya
sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan
tidaklah menjadi makruh.
Sumber :
Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8)
Sya’ban 1430, m/s 136.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan