SHAH ALAM – Malaysia mempunyai
banyak kelebihan apabila Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, justeru
tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan undang-undang Islam, kata
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.
Menurutnya, Islam sebagai agama
Persekutuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong,
Sultan dan Raja-Raja Melayu ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah
lambang keutuhan umat Islam di negara ini.
“Semua ini terletak di bahu kita
sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat dan menyebabkan kita
terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini
dimomokkan seperti negara sekular
Turki dan Mesir yang telah jauh ke hadapan,” katanya.
Wan Mohamad berkata, sekiranya
analisis kekuatan negara kita dilakukan, ketua negara Muslim, Islam nama yang
disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, itu maknanya ALLAH menguji kita dan
mengurniakan banyak kelebihan.
“Apabila ditanya pakar strategik,
siapa ketua negara kita, muslim..siapa ketua kerajaan kita, muslim.. Hanya nama
Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, bila lagi kita mahu laksanakan.
Tunggu atau lihat?,” katanya pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di
Malaysia semalam.
Seminar sehari itu, dihadiri
kira-kira 250 peserta anjuran Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama Jabatan
Mufti Selangor Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri di
Muzium Sultan Alam Shah.
Beliau turut mengambil contoh
ketegasan Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah yang bertitah pada Seminar
Antarabangsa Perundangan Islam pada tahun ini.
“Titah Sultan, tidak boleh lagi
berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segalanya ada kemampuan
dan ada kuasa dan cukup kemampuan untuk melaksanakannya.
“Kalau kita masih berkata tidak
atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena. Siapa kita di hadapan ALLAH untuk
berkata tidak dan tunggu dulu, sedangkan undang-undang bukanlah baru digubal tetapi telah
termaktub dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun dahulu,” katanya yang
membacakan semula titah tersebut.
Sehubungan itu katanya, walaupun
isu hudud ini berbangkit sewaktu gendang pilihan raya hampir tiba, namun ia
harus diterima sebagai petanda usaha ulama silam semakin berjaya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan