Ulama terbilang
dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang
setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang
membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup
pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari
al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau
berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama
dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk
perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai.
Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang
menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan
kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan
perhatian begitu mendalam.
Masalah ini
dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah
hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini
dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang
(furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan,
masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak
batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada
meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh
- Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh,
antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan
adalah :-
1) Raih Taqwa
& Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan
keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini.
Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita
mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan
Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di
bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza
di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat
Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya
sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran
Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan
tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor,
nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu
dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala
puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah
Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini
juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke
Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa
ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu
perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang
disepakati sahaja. Justeru, larangan yang
disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan
dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan
niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan
as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan
dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat
al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar
darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama
membatalkan puasa.
Adapun yang tidak
disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam
Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas
berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar
dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah,
tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak
batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran
terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam
Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan
pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn
Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh)
dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan
baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini
berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal
kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan
majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan
sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut
dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti
memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses
perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung,
telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak
membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan
tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu
berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan
jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan
puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat
menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini
juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke
telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak
membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat
fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik
menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang
khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid
untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus
dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan
nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat
haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt.
selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis
ibadah.
4) Penyembur gas
untuk pesakit lelah :
Hukumnya :
Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di
Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama
seantero dunia dan mereka berbeza pandangan
apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian
terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim
putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90
% darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke
perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali
semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal
dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi
kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih
terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian
ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para
ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi
memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr
Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di
paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui
hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala.
(As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para
ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari
walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun
ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula
dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan
terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh
para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut
pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas
sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini
terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
والأصل بقاء الشيء
على ما هو عليه
Ertinya : Hukum
asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada
sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang
mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong
dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang
termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN
sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung
semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.
5) Suntikan ke
dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya :
Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia
digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas
perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah
, hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk
kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan
suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan;
para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak
membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan
ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah
fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman
Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir
Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun,
suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara
sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur
dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak
membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya
terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan
hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan
lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat
Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah,
Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan
Maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak
batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu
akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah
besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan
terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu
bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat.
(Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan
dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn
Hibban)
8) Mencium lelaki
dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya :
Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan
beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ
وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya :
"Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia
berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya"
(Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib
arnaout : Sohih)
Dan satu lagi
adalah : -
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال
لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد
علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه
ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami
bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku
berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating
seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ;
kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu
apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang
tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad
terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap
dhoif)
Al-Qaradawi pula
menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu
mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia
tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa
mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang
hari Ramadhan.
9) Wanita tamat
haid
Wanita tamat haid
pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh.
Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum
fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada
jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana
tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga
ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah
:-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ
قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya :
"Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa
(wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air
mazi
Air mazi adalah
air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak
persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan
puasa atau tidak.?
Zahir dalam
mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun
mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam
satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya
lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air
mani tanpa setubuh
Mencium dan
menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah
membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya
air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah
batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni,
4/159)
Manakala mazhab
Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau
bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal
kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam.
Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani
kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat
ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan
air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak
membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini.
(Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke
anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka
tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada
anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf
adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada
pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM
menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang
terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama
menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah
dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah
untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis
yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu
subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian
yang biasa?. Jawapnya ia tidak
membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan
mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di
dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath
Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal
apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan
oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu
sendiri.
14) Berniat
berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini
adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika
dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa
tidak terbatal.
Justeru, seluruh
individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk
membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal
kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal
jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
15) Mengosok
gigi ketika berpuasa
Sebelum kita
melangkah dengan lebih mendalam bagi membahaskan tajuk ini, adalah wajar
sekiranya ditinjau terlebih dahulu akan tujuan bersiwak. Sudah tentu tujuannya
ialah untuk menjaga kebersihan mulut supaya tidak menganggu masyarakat di
sekeliling kita di samping supaya kebersihan dan kesihatan mulut dan gigi
terpelihara.
Inilah fokus
utama mengapa Nabi bersabda ' Jika tidak menyusahkan umatku, pasti aku
perintahkan mereka bersiwak (gosok gigi) setiap kali (berwudhu') untuk
menunaikan solat'. Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Justeru,
persoalan sama ada menggukan kayu siwak, ubat gigi, berus gigi atau air tidak
timbul. Kesemua ini hanyalah alat bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh
baginda iaitu kebersihan.
Saya menyedari
kedaifan diri saya ini. Namun begitu, saya kurang bersetuju dengan ijtihad yang
mengatakan bahawa menggunakan air atau ubat gigi adalah makruh kerana
dikhuatiri akan tertelan. Istilah 'ter' telan menunjukkan perbuatan yang
berlaku di luar jangkauan kita. Begitu juga dengan termakan, ia tidak
membatalkan walhal si termakan tersebut sudah termakan dua pinggan nasi.
Justeru, perbuatan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan. Ini kerana ini
berlaku di luar kawalan normal minda manusia. Lihatlah bagaimana ISLAM yang
tulin menyediakan landasan yang kukuh dalam memudahkan urusan penganya kerana
ALLAH inginkan kemudahan bagi hambaNya, bukannya kesukaran.
Saya berpandangan
bahawa penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang
dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan
mulut.
Sumber : http : //www. zaharuddin.net/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan